Enam tindakan utama dilaksana perkukuh keselamatan KLIA

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 1:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Enam tindakan utama dilaksana perkukuh keselamatan KLIA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertingkatkan pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang
dikenal pasti berisiko sebagai antara tindakan diberi keutamaan dalam memperkukuh keselamatan sedia ada di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk utama lain.

Langkah segera itu merupakan antara enam tindakan diberi keutamaan yang digariskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini tadi.

Menurut kenyataan bersama itu, kerajaan juga akan meneliti dan memperkukuh prosedur tapisan keselamatan terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat.

Katanya, pengkuhan prosedur keselamatan itu juga melibatkab pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhadap.

“Saringan dadah terhadap personel penerbangan juga akan dilaksanakan bagi memperkukuh saringan pra-pengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

“Kita juga meningkatkan kehadiran nyata (omnipresence) anggota Polis Diraja Malaysia di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan.

“Langkah ini turut disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2,” katanya.

Semalam, jemaah menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan yang terkandung dalam Memorandum Bersama KDN dan MOT bagi memperkukuh saringan serta pengurusan risiko di KLIA dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

Jelas kenyataan bersama itu, pihaknya juga akan memperkukuh perkongsian maklumat keselamatan dan risikan melalui
National Immigration Command Centre (NICC) dan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha MOT.

“Enam langkah segera ini merupakan keutamaan pelaksanaan fasa jangka pendek dan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang dirangka bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di KLIA dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara,” katanya.

“Pelaksanaan keseluruhan 17 syor turut merangkumi tindakan sederhana dan panjang dimana fasa jangka sederhana akan memberi
tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia.

“Manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi,” katanya.

Jelasnya, pelan tindakan ini dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.

Ia termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah serta beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem kawalan di pintu masuk negara. – KOSMO! ONLINE

The post Enam tindakan utama dilaksana perkukuh keselamatan KLIA appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved