
PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan manfaat kesihatan melibatkan alat atau peranti yang digelar ‘hydrogen inhaler’ atau mesin hidrogen.
KKM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum isu berkaitan aktiviti penjualan dan promosi peranti berkenaan, termasuk dakwaan mengenai kesan rawatan serta manfaat kesihatan yang dikaitkan dengannya.
Katanya, sebarang peranti perubatan yang dijual atau digunakan di Malaysia perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
“Penjualan, pengedaran atau pengiklanan peranti yang tidak berdaftar adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai, khususnya golongan warga emas, supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang menjanjikan kesan rawatan atau manfaat kesihatan sekiranya ia belum dibuktikan secara saintifik atau mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, orang ramai juga disarankan untuk menyemak status pendaftaran mana-mana peranti perubatan melalui laman sesawang rasmi MDA sebelum membuat pembelian.
“KKM turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap aktiviti jualan yang menyasarkan golongan berusia, terutama jika ia membabitkan tekanan atau rayuan emosi untuk mendorong pembelian.
“Sebarang aduan berkaitan penjualan produk atau peranti tidak berdaftar, termasuk iklan yang mengelirukan, boleh dikemukakan kepada KKM atau MDA untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan beberapa individu dikatakan sedang menjalani rawatan air hidrogen yang didakwa boleh menyembuhkan penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. – KOSMO! ONLINE
The post KKM beri amaran jualan, promosi produk ‘hydrogen inhaler’ appeared first on Kosmo Digital.





