
Kota Kinabalu: Keikhlasan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan komitmen terhadap Sabah akan diuji susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak negeri terhadap 40 peratus hasil pendapatan Persekutuan kata Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhaimi Nasir (gambar).
Beliau berkata pelaksanaan hak Sabah untuk memperoleh 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri ini bukan sekadar isu politik atau teknikal tetapi simbol keadilan dan kesaksamaan — asas kepada keyakinan rakyat Sabah terhadap Persekutuan.
“Arahan Mahkamah Tinggi supaya Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan dalam tempoh 90 hari membuktikan bahawa prinsip federalisme dan janji di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih hidup dalam kerangka perundangan negara.
“Keputusan ini merupakan pembetulan sejarah selepas pengabaian hampir lima dekad di mana semakan hasil Sabah tidak pernah dilaksanakan secara menyeluruh sejak 1974.
“Ia bukan hanya mengenai peratusan tetapi soal integriti dan tanggungjawab perlembagaan,” kata Ahli Parlimen Libaran itu dalam kenyataanya.
Dalam pada itu Suhaimi menggesa Putrajaya membuktikan bahawa semangat MA63 bukan sekadar slogan tetapi satu komitmen tulen yang diterjemahkan melalui tindakan berasaskan keikhlasan, ketelusan dan kecekapan.
Beliau turut mencadangkan beberapa langkah konkrit termasuk pelaksanaan audit bebas bersama antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi menentukan jumlah sebenar hasil yang dikutip sejak 1974, laporan berkala kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah serta penubuhan mekanisme semakan tetap bagi mengelakkan pengabaian berulang.
“Keputusan ini bukan penamat perjuangan tetapi permulaan kepada usaha membetulkan ketidakseimbangan sejarah yang telah berlarutan.
“Sabah tidak menuntut lebih daripada apa yang dijanjikan — hanya agar Kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawab perlembagaannya secara adil dan dalam semangat sebenar rakan kongsi di bawah MA63,” katanya.
Suhaimi turut menyatakan penghargaan dan rasa hormat Umno Sabah terhadap keberanian Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) yang membawa kes berkenaan ke mahkamah sekali gus menyifatkan usaha mereka mencerminkan integriti, ketelusan dan kejujuran dalam menegakkan keadilan Persekutuan.
