
KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar penjaga warga emas akan menerima elaun lebih baik perlu mengambil kira keputusan kerajaan dan peruntukan ditetapkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya merancang agar kumpulan itu menerima elaun lebih baik demi memastikan tugas mereka setimpal dengan menjaga warga emas di negara.
“Kita memang merancang untuk mereka mendapat elaun lebih kerana kebanyakannya datang daripada kalangan institusi kita juga.
“Tetapi kita tidak dapat memberi komitmen dahulu sebab kita tidak boleh mendahului apa yang akan diputuskan. Kita hanya berusaha dan berdoa supaya mereka dapat menikmati perkara itu,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) meminta menteri menjelaskan adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan jumlah bantuan penjaga terlantar ataupun warga emas kos pada hari ini tidak memadai untuk mereka meninggalkan kerja dan menjaga keluarga.
Dalam pada itu, Nancy berkata, pihaknya telah melatih hampir 3,000 penjaga warga emas setakat tahun ini.
Katanya, jumlah itu merupakan antara usaha kementerian memperkukuh penyediaan tenaga penjaga terlatih bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas di negara ini.
Sebelum ini, Nancy turut memaklumkan kementerian menyasarkan untuk melahirkan 50,000 penjaga warga emas berkemahiran menjelang 2030 sebagai persediaan menghadapi peningkatan keperluan penjagaan jangka panjang apabila Malaysia menuju status negara menua.
Dalam perkembangan lain, Nancy turut berkata, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan warga emas kini sudah bersedia untuk dibawa ke Kabinet sebelum proses pembentangan di Parlimen.
Katanya, kementerian menyasarkan RUU berkenaan dapat dibentangkan pada awal tahun depan, namun proses tersebut bergantung kepada giliran pembentangan serta proses mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.
“Kami sudah bersedia untuk tahun ini, namun untuk ia dibentangkan mungkin pada awal tahun depan.
“Terlalu ramai yang memohon untuk didengar, jadi kita perlu kembali kepada mereka yang telah meminta untuk didengar dan memberi peluang kepada semua pihak,” katanya. –UTUSAN
The post Kerajaan rancang naikkan elaun penjaga warga emas appeared first on Utusan Malaysia.





