Kerajaan Sabah gerakkan bantuan segera untuk mangsa kebakaran Sandakan

19 Apr 2026 • 11:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan Sabah gerakkan bantuan segera untuk mangsa kebakaran Sandakan
Hajiji berkata beliau amat berdukacita menerima laporan kebakaran besar yang melibatkan ratusan  rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, terus terjamin.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan semua mangsa terjejas berada dalam keadaan selamat serta menerima bantuan segera.

"Saya amat berdukacita menerima laporan kebakaran besar yang melibatkan ratusan  rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.

"Kerajaan negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjamin di samping menyediakan bantuan segera agar mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa.

"Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua mangsa dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan itu dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera serta berkesan..

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kira-kira 200 rumah di perkampungan atas air musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi Ahad.