Lebih 100 anggota termasuk bomba 'bertarung' 10 jam padam kebakaran

19 Apr 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 100 anggota termasuk bomba 'bertarung' 10 jam padam kebakaran
Keadaan di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan selepas anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran.

SANDAKAN - Lebih 100 anggota pelbagai agensi bertungkus-lumus selama hampir 10 jam bagi mengawal dan memadam kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, awal pagi Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya hanya berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran sekitar jam 12 tengah hari.

Menurutnya, pasukan bomba berdepan pelbagai cabaran sepanjang operasi pemadaman, termasuk struktur rumah yang terlalu rapat sehingga menyebabkan api merebak dengan cepat.

"Keadaan jalan yang sempit di kawasan kampung turut menyukarkan pergerakan jentera ke lokasi kebakaran.

"Selain itu, air laut yang surut menjejaskan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka, manakala faktor angin kencang mempercepatkan lagi kebakaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan rumah kediaman atas air jenis tidak kekal dengan keluasan kira-kira empat hektar dan keseluruhan kawasan terjejas terbakar 100 peratus.

"Operasi pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif di bahagian kiri serta kanan kawasan kebakaran tersebut.

"Jentera bantuan daripada BBP Kinabatangan turut digerakkan dan menjalankan operasi pemadaman, dan sumber air diperoleh daripada lori tangki air, pili bertekanan milik kilang berhampiran serta sumber air terbuka iaitu air laut.

"Seramai 37 anggota bomba terlibat dalam operasi itu, termasuk 32 anggota dari BBP Sandakan dan lima anggota dari BBP Kinabatangan," jelasnya.

Turut membantu ialah Unit Dron Zon Sandakan, Pasukan Bomba Sukarela Karamunting seramai 10 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai 50 anggota, Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 30 anggota serta Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE).

Jimmy bagaimanapun berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

"Kerja-kerja overhaul telah dijalankan dan pemeriksaan di sekitar kawasan mendapati tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya," katanya.