Kerajaan Sabah saman Ernst & Young lebih RM2 bilion, dakwa cuai audit penyata kewangan Sabah Development Bank

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 2:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan Sabah saman Ernst & Young lebih RM2 bilion, dakwa cuai audit penyata kewangan Sabah Development Bank Image from: Kerajaan Sabah saman Ernst & Young lebih RM2 bilion, dakwa cuai audit penyata kewangan Sabah Development Bank hamden07/08/2026 - 14:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kerajaan Negeri Sabah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY) atas dakwaan gagal melaksanakan tanggungjawab berdasarkan piawaian profesional ketika mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.

 

Tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn. Bhd. sebagai plaintif, manakala EY dinamakan sebagai defendan.

 

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY telah melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care) dalam menjalankan audit berkanun ke atas penyata kewangan SDB sehingga menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu gagal dikesan lebih awal.

 

 

 

 

 

 

Menurut dokumen mahkamah, SDB didakwa telah menjadi tidak solven selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2018 apabila sebanyak 85.94% daripada portfolio pinjamannya direkodkan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

 

Namun, EY terus mengeluarkan pendapat-pendapat audit tanpa pengecualian bagi setiap penyata kewangan 2018 hingga 2022 dan menyebabkan SDB menanggung hutang lanjut, termasuk menerbitkan program bon bernilai RM3 bilion pada 2021.

 

Plaintif mendakwa hanya mengetahui kedudukan kewangan sebenar SDB pada 2023 selepas semakan menyeluruh dilakukan oleh lembaga pengarah dan pengurusan baharu bank tersebut.

 

Menurut pernyataan tuntutan, kegagalan yang didakwa berlaku itu telah menyebabkan kerajaan negeri dan pihak berkaitan menanggung kerugian besar, termasuk deposit tetap RM650 juta, suntikan modal RM90 juta serta tambahan deposit tetap RM660 juta yang kemudiannya ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus.

 

Selain itu, plaintif mendakwa masih menanggung kira-kira RM1 bilion liabiliti SDB yang dijadualkan perlu dijelaskan sehingga September 2029.

 

Dokumen mahkamah turut menyatakan Kerajaan Negeri Sabah telah membuat komitmen kewangan yang besar kepada SDB, termasuk mengeluarkan surat sokongan bagi program bon berjumlah RM7.5 bilion serta menyediakan deposit tetap melebihi RM1 bilion.

 

Menurut plaintif, segala komitmen kewangan tersebut dibuat berdasarkan laporan audit EY yang menggambarkan kedudukan kewangan SDB berada dalam keadaan memuaskan.

 

 

 

 

 

 

EY dilantik sebagai juruaudit SDB sejak 2011 sebelum tidak dilantik semula pada September 2024 dan digantikan oleh Forvis Mazars PLT sebagai juruaudit baharu bagi tahun kewangan 2024.

 

Semakan yang dilakukan oleh lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDB pada 2023 turut didakwa menemui pelbagai kelemahan serius, termasuk pinjaman tidak berbayar yang dianggarkan mencecah kira-kira RM5 bilion atau hampir 70% daripada keseluruhan portfolio pinjaman.

 

Plaintif juga mendakwa wujud amalan "ever-greening" pinjaman serta isu berkaitan penilaian aset sekuriti yang dipersoalkan, yang didakwa menyumbang kepada kegagalan mengenal pasti keadaan kewangan sebenar SDB lebih awal. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved