hamden05/08/2026 - 16:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KOTA KINABALU 5 Ogos - Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) dengan kerjasama Kerajaan Sabah melancarkan dua platform digital baharu bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja dan memperluaskan peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas negeri itu.
Platform berkenaan ialah Permohonan Online Pekerjaan dan Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas (POMIGAS) serta Sistem Dalam Talian Pas Kerja Sabah (Sabah Work Pass Online System) yang dilancarkan sempena Forum Penyelarasan Bakat Industri Minyak dan Gas Sabah (SOGITAF) 2.0.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Awang Shahminan Awang Sahari.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia bagi Upstream dan Malaysia Petroleum Management PETRONAS, Maria Teo.
POMIGAS merupakan platform dalam talian berpusat yang diintegrasikan dengan ekosistem Sabah Jobs Portal bagi menyediakan akses kepada rakyat Sabah, khususnya belia, graduan dan pencari kerja, kepada peluang padanan pekerjaan serta latihan dalam sektor minyak dan gas.
Platform itu turut berperanan memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja dengan menghubungkan bakat tempatan kepada keperluan industri, sekali gus membantu meningkatkan penyertaan rakyat Sabah dalam sektor strategik tersebut.
Sementara itu, Sistem Dalam Talian Pas Kerja Sabah dibangunkan bagi memperkemas proses permohonan dan pengurusan pas kerja dengan membolehkan majikan mengemukakan dokumen secara dalam talian, memantau status permohonan serta mempercepat urusan dengan pihak berkuasa imigresen dan buruh berkaitan.
Awang Shahminan berkata, pelancaran kedua-dua platform itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Sabah dan PETRONAS dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas negeri.
"Dua platform ini mewujudkan akses dan penyertaan yang lebih luas kepada peluang industri, menyokong pembangunan bakat tempatan serta memastikan pendekatan yang lebih terselaras dalam menghubungkan rakyat Sabah dengan keperluan industri," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan Petronas, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata, PETRONAS kekal komited membangunkan bakat tempatan menerusi pelbagai inisiatif.
Menurut beliau, usaha itu sejajar dengan aspirasi syarikat untuk memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat daripada pertumbuhan berterusan industri tenaga di negeri berkenaan.
Kedua-dua platform tersebut diuruskan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah.
POMIGAS telah mula beroperasi sejak awal tahun ini, manakala Sistem Dalam Talian Pas Kerja Sabah dijadual mula beroperasi pada 1 September 2026. - DagangNews.com






