
KOTA KINABALU – Kerajaan negeri akan menjalankan siasatan segera berhubung pautan gambar tular yang menunjukkan al-Quran dipijak dan diconteng dengan lukisan tidak senonoh di laman media sosial, dipercayai dilakukan individu dari negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menghina agama Islam.
Katanya, perbuatan itu disifatkan biadab dan melampau selain mencemarkan maruah agama serta mengguris perasaan umat Islam.
“Saya minta pihak berkuasa, termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Tindakan tegas berlunaskan undang-undang perlu diambil terhadap individu yang terbabit.
“Kita tidak boleh berkompromi terhadap perbuatan biadab yang menghina al-Quran lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Al-Quran adalah kitab suci dan mulia,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata bahawa perbuatan melampau itu berpotensi menimbulkan keresahan, kemarahan umat Islam dan menjejaskan perpaduan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya bertenang dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. -MYBERITA


