
Kerajaan Sarawak akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga petugas yang terlibat dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, semalam.
Selain itu, kerajaan negeri turut menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah menerusi Yayasan Sarawak.
Menurut kenyataan kerajaan Sarawak menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju supaya bantuan berkenaan disalurkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap keluarga dan waris mangsa.
“Bantuan berkenaan disalurkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan Sarawak bagi membantu meringankan beban keluarga dan waris terlibat.
“Tanggungan penuh yuran pendidikan itu turut mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan para petugas berkenaan yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman,” menurut kenyataan itu.
Lima Individu Terlibat Nahas
Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Menurut CAAM, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.
Baca juga:Helikopter berkenaan ketika kejadian sedang menjalankan operasi penerbangan FDS.






