KSL sasar jualan hartanah baharu RM1.2 bilion tahun ini

29 Aug 2025 • 10:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KSL sasar jualan hartanah baharu RM1.2 bilion tahun ini

image is not available

29/08/2025 - 10:42

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Pemaju hartanah, KSL Holdings Bhd menyasarkan jualan hartanah baharu sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), disokong oleh permintaan kukuh di Johor dan Selangor serta pemangkin pasaran utama termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Bagi separuh pertama 2025 (1H25), KSL mencatatkan jualan hartanah baharu berjumlah RM491 juta, terutamanya daripada projek kediaman dan pembangunan bercampur di Johor Bahru.

Syarikat itu turut mengekalkan jualan belum dibil RM684 juta setakat 30 Jun 2025 yang akan diiktiraf sehingga tahun 2028.

Pengerusi Eksekutif KSL, Ku Hwa Seng berkata, Kumpulan optimis melancarkan projek pembangunan bernilai keseluruhan RM3.7 bilion sepanjang FY2025, meliputi projek kediaman, pembangunan bercampur dan perindustrian di Johor Bahru serta Lembah Klang.

Antara projek utama termasuk fasa pertama KSL Business Park @ Ulu Tiram dengan GDV RM450 juta, serta pembangunan bercampur Blossom Square @ Setia Alam dengan GDV RM463 juta merangkumi kediaman bertingkat tinggi (Haus Residence) dan lot kedai.

Keputusan Kewangan 2Q25 Kekal Stabil

Beliau berkata, bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q25), KSL mencatatkan pendapatan RM364.5 juta, meningkat 13.6% berbanding RM321.0 juta pada tempoh sama tahun lalu, disokong oleh projek-projek yang sedang berjalan.

“Namun, keuntungan bersih menurun sedikit sebanyak 1.4% kepada RM113.0 juta, berbanding RM114.6 juta tahun sebelumnya ekoran peningkatan kos pentadbiran dan kewangan.

“Segmen pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang utama dengan pendapatan RM292.4 juta pada 2Q25, meningkat 12.5% berbanding tahun lalu. Sementara itu, segmen pelaburan hartanah (hotel dan pusat beli-belah) turut menunjukkan prestasi kukuh dengan pendapatan RM72.2 juta, naik 19.2% berbanding RM60.5 juta sebelumnya.

“Bagi keseluruhan 1H25, KSL merekodkan pendapatan RM611.2 juta dan keuntungan bersih RM165.8 juta, berbanding pendapatan RM649.2 juta dan keuntungan bersih RM215.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, dengan perbezaan disebabkan faktor masa pengiktirafan projek,” katanya.

Disokong Pelaburan Pusat Beli Belah & Hotel

Portfolio pembangunan KSL kini mempunyai jumlah GDV berjalan RM3.5 bilion setakat 30 Jun 2025. Prestasi kumpulan turut ditampung oleh pendapatan stabil daripada pelaburan hartanahnya, termasuk KSL City Mall dan KSL Hotel & Resort di Johor Bahru, serta KSL Esplanade Mall dan KSL Esplanade Hotel di Klang.

Beliau berkata, prestasi kukuh separuh pertama 2025 mencerminkan kekuatan model perniagaan yang pelbagai, menggabungkan pembangunan hartanah dengan aliran pendapatan berulang daripada pusat beli-belah dan hotel.

“Kami sedang giat memanfaatkan pemangkin utama JS-SEZ dan RTS yang dijangka merancakkan pasaran hartanah Johor, selain pelancaran projek strategik di Johor Bahru dan Selangor yang mampu mengukuhkan kedudukan KSL sebagai pemaju utama di rantau ini,” katanya. - DagangNews.com

standard