
KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri akan meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan kepada keluarga tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan kunjungan susulan bagi mengenal pasti keperluan keluarga berkenaan.
Katanya, antara bantuan yang boleh dipertimbangkan termasuk sokongan psikososial dan bantuan bulanan bagi membantu keluarga meneruskan kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga.
“Melalui JKM, kita akan memberikan sokongan psikososial termasuk khidmat kaunseling dan bantuan berkaitan.
“Bagaimanapun, saya difahamkan ibu mangsa masih menerima rawatan di hospital. Jadi, JKM akan adakan kunjungan susulan bagi melihat keperluan keluarga tersebut, khususnya dalam memberikan sokongan moral,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, pesara tentera, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, yang sedang berjalan kaki maut bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, selepas dirempuh lori JIM dalam kemalangan turut membabitkan dua kenderaan lain.
Isteri Shaik Mohd. Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut terlibat dalam nahas itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan difahamkan berada dalam keadaan stabil.
Mengulas lanjut Salbiah berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada keluarga berkenaan untuk membawa mangsa yang masih dirawat pulang ke Perak.
“Setakat pengetahuan saya, belum ada lagi permintaan setakat ini. JKM akan turun untuk membuat tindakan susulan dan kita akan tengok bantuan yang bersesuaian.
“Biasanya kita tunggu mereka pulang dahulu. Saya sendiri juga mungkin akan turun menziarahi keluarga berkenaan, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas lori imigresen: Perak teliti bantuan untuk keluarga mangsa appeared first on Kosmo Digital.






