
PETALING JAYA: Setiap pandangan akan diperhalusi sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meneliti setiap pandangan berkenaan sekali gus memperlihat kerajaan hari ini akan terus mendengar denyut nadi rakyat.
“Kalian membawa suara, keresahan dan harapan pelbagai lapisan masyarakat. Cadangan dan teguran yang dikemukakan akan membantu kita dalam membentuk Belanjawan Madani yang benar-benar menjawab persoalan rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.
Katanya lagi, reformasi ekonomi mesti diteruskan, malah teknologi dan pelaburan baharu mesti dipacu supaya negara tidak ketinggalan.
“Namun angka pertumbuhan dan pencapaian makro tidak harus menjadikan kita alpa terhadap kesenjangan, kemiskinan serta tekanan kos sara hidup yang masih menghimpit sebahagian rakyat,” katanya.
Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 menghimpunkan hampir 400 wakil daripada pelbagai lapangan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan dalam merangka Belanjawan Madani Kelima.
Beliau dalam masa yang sama turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir, termasuk wakil agensi Kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa. – UTUSAN
The post Setiap pandangan diteliti sebelum Belanjawan 2027 dimuktamad appeared first on Utusan Malaysia.






