
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan pemulihan Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, yang cedera parah selepas diserang lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khaled berkata, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab memastikan keluarga mangsa tidak perlu memikirkan soal kewangan sepanjang kanak-kanak itu menjalani rawatan.
“Encik Hamizi tidak perlu risau mengenai kos. Jika doktor mengesyorkan rawatan dan ibu bapa memberi keizinan, rawatan akan diteruskan dan kos rawatan ditanggung pentadbiran negeri.
“Saya juga akan menempatkan seorang pegawai untuk terus berhubung dengan pihak hospital bagi memudahkan pengurusan kos rawatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi Nur Haira yang kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Nur Haira masih ditidurkan dan memerlukan rawatan rapi, selain dijangka menjalani proses pemulihan yang panjang.
Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak hospital memberi perhatian terhadap keadaan emosi keluarga Nur Haira, termasuk abangnya berusia 12 tahun yang dikatakan menyaksikan kejadian tersebut.
Katanya, keluarga mangsa wajar diberikan khidmat kaunseling bagi membantu mereka mengatasi trauma susulan kejadian berkenaan.-KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan tanggung kos rawatan Nur Haira appeared first on Kosmo Digital.






