
SHAH ALAM: Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic) akan menutup operasi pengeluaran TV oleh Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) di sini, bermula September ini.
Panasonic dalam kenyataannya berkata, penutupan PAVCKM itu akan memberi kesan kepada 400 pekerjanya pada akhir Mac selepas syarikat tersebut turut akan menghentikan pengeluaran audio Technics-branded Hi-Fi pada akhir Februari tahun depan.
Katanya, bagaimanapun pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (EIWU) bagi memastikan pekerja terjejas diberikan sokongan termasuk bantuan pertukaran penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya.
“Pengeluaran oleh PAVCKM itu akan dipindahkan ke Kumpulan Panasonic yang lain sebagai usaha memperkukuh daya saing dan mengoptimumkan pengeluaran Panasonic di Malaysia.
“(Bagaimanapun) Panasonic akan meneruskan pengeluaran produk audio di Malaysia dan dalam masa sama menambah baik keberkesanan keseluruhan aktiviti pengeluarannnya termasuk penjualan dan perkhidmatan bagi TV dan produk audio di Malaysia,” katanya.
Dalam tempoh sama, PAVCKM juga akan memindahkan operasi pengeluaran pemain Blu-ray Disc ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co, Ltd. (CHPAVC) di China sebagai usaha memperkukuh daya saing perniagaan Panasonic AVC.
Panasonic dalam kenyataan sama memberitahu, bagaimanapun negara ini kekal sebagai hub utama serantau apabila mengambil sehingga 12,000 pekerja menerusi pelbagai bidang perniagaan termasuk pengeluaran bernilai tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti korporat.
“Sebagai komitmen kepada negara dan komuniti setempat, Panasonic akan terus melabur di Malaysia dalam usaha menyokong strategi pembangunannya terhadap rantaian bekalannya yang bernilai tinggi,” ujarnya. – UTUSAN
The post Panasonic Malaysia tutup operasi PAVCKM, 400 pekerja terjejas appeared first on Utusan Malaysia.






