Kerajaan teliti pindah kuota subsidi diesel bersasar kepada ahli keluarga

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 8:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan teliti pindah kuota subsidi diesel bersasar kepada ahli keluarga

TAWAU: Kerajaan bakal mengumumkan beberapa penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi termasuk memudahkan proses permohonan dan meneliti semula syarat kelayakan penerima.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara perkara lain yang bakal diteliti termasuk isu kenderaan sambung bayar, pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan dan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat dalam kea­daan tertentu.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar lebih mudah dan bantuan kerajaan sampai kepada individu yang layak.

“Kita masih meneliti beberapa cadangan penambahbaikan. Dalam sebulan dua ini, kita akan buat pengumuman berhubung penambahbaikan itu terutamanya daripada segi proses dan kelayakan.

“Kami mahu mereka yang layak benar-benar mendapat manfaat daripada subsidi diesel ini,” katanya ditemui lepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama pemain industri di sini semalam.

Amir Hamzah berkata, kira-kira 120,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda termasuk pikap di Sabah layak memohon kuota subsidi diesel 300 liter selepas kelayakan diperluaskan kepada kategori berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini hanya kira-kira 49,000 pemilik kenderaan sudah membuat permohonan.

“Fokus kita sekarang adalah memastikan mereka yang layak benar-benar tahu bahawa mereka boleh memohon dan mengambil manfaat daripada bantuan ini.

“Kita menggalakkan lebih ramai yang layak untuk memohon kerana Kementerian Kewangan sudah menyediakan kemudahan dan mekanisme bagi membolehkan permohonan dibuat,” katanya.

Jelas beliau lagi, kerajaan turut bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan syarikat minyak bagi membantu golongan yang kurang mahir menggunakan teknologi atau menghadapi kesukaran membuat permohonan secara dalam talian.

“Pemohon boleh mendapatkan bantuan di cawangan LHDN dan UTC manakala syarikat minyak turut menyediakan bantuan di stesen minyak.

“Kita berharap daripada kira-kira 120,000 pemilik kenderaan yang layak di Sabah, kesemua­nya dapat membuat permohonan supaya mereka dapat menikmati bantuan dan kuota yang sudah disediakan,” katanya.-UTUSAN.

The post Kerajaan teliti pindah kuota subsidi diesel bersasar kepada ahli keluarga appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved