
Tuaran: Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan untuk memperluas Kinabalu Unesco Global Geopark (KUGGp) untuk merangkumi sebahagian kawasan daerah Tuaran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata penemuan awal daripada Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) yang dijalankan pada April 2025 menunjukkan Tuaran mempunyai keunikan geologi, kekayaan biodiversiti, warisan budaya yang penting serta pengetahuan komuniti yang bernilai.
“Aset-aset ini wajar dikaji dan didokumentasikan dengan teliti, serta jika bersesuaian dimasukkan dalam kerangka pemuliharaan dan pembangunan mampan yang lebih luas bagi memperkukuh keterhubungan ekologi dan ekopelancongan Sabah,” katanya pada majlis penutupan Misi Penilaian Semula KUGGp di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, di sini, Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin.
Hajiji berkata pada masa ini KUGGp meliputi kawasan seluas kira-kira 4,750 kilometer persegi merentasi tiga daerah, iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.
“Pengurusan kawasan sebesar itu, yang melibatkan pelbagai bidang kuasa pentadbiran dan pelbagai komuniti, memerlukan strategi jangka panjang yang jelas dan terselaras,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Hajiji berkata Pelan Pengurusan Kinabalu Unesco Global Geopark 2026-2035 akan menggantikan Pelan Pengurusan Interim 2021–2025.
“Pelan baharu ini mengintegrasikan tonggak utama geopark, iaitu pemuliharaan sumber, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan sosioekonomi, dan akan dilaksanakan dalam tiga fasa, iaitu pembinaan asas, pemecutan dan transformasi, berpandukan sembilan tema strategik menuju 2035,” katanya.
Misi Penilaian Semula KUGGp yang bermula pada 10 Ogos lepas bukan semata-mata untuk mengekalkan pengiktirafan Unesco, tetapi peluang untuk memperkukuh institusi, menambah baik pengurusan, mempertingkat penyertaan komuniti serta memastikan nilai-nilai Unesco diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan.
Beliau berkata pengiktirafan Unesco perlu memberikan lebih daripada sekadar prestij antarabangsa, sebaliknya perlu menyediakan peluang yang bermakna dan mampan untuk manfaat komuniti.
“Pendekatan itu selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030, yang bertujuan memacu Sabah yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan, di samping memastikan pembangunan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
“Bagi KUGGp, ini bermakna memperluas akses pasaran, memperkukuh keusahawanan tempatan, menambah baik infrastruktur yang bersesuaian serta memastikan komuniti menjadi rakan kongsi aktif dalam mencorakkan pembangunan, bukan sekadar penerima manfaat secara pasif,” katanya.
Ketua Menteri itu turut merakamkan penghargaan kepada penilai Unesco, Dr Zhang Yuanhai dan Dr Atsuko Niina, terhadap kepakaran dan ketelitian mereka sepanjang Misi Penilaian Semula KUGGp 2026.
Beliau berkata setiap Unesco Global Geopark menjalani penilaian semula setiap empat tahun dan proses ini penting bukan sahaja untuk mengekalkan pengiktirafan antarabangsa, tetapi juga bagi memastikan geopark terus memenuhi piawaian, prinsip dan tanggungjawab yang ditetapkan.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada penasihat saintifik KUGGp, Taman-Taman Sabah sebagai agensi peneraju, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, Institusi Pengajian Tinggi, pejabat daerah, dan pihak berkuasa tempatan, selain pemimpin masyarakat dan komuniti tempatan, serta setiap organisasi dan individu yang berusaha menjayakan misi penilaian semula ini,” katanya.




.jpg)

