liza21/10/2026 - 12:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meneruskan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran getah asli negara termasuk Program Konsolidasi Kawasan Getah Matang Terbiar, Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kesan pelaksanaan pelbagai intervensi berkenaan terhadap pengeluaran negara dijangka berlaku secara berperingkat dengan perkembangan positif harga pasaran dan peningkatan permintaan berpotensi menggalakkan aktiviti penorehan.
Pada 2025, pengeluaran getah asli negara berjumlah 336,676 tan, merosot 49,836 tan atau 13% berbanding 386,512 tan pada 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 pula, pengeluaran getah asli mencatatkan 136,280 tan metrik berbanding 163,614 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 27,334 tan metrik atau 16.7%.
Pelbagai faktor mempengaruhi pengeluaran
Noraini berkata, kemerosotan pengeluaran pada 2025 berpunca daripada beberapa faktor utama, termasuk kekurangan penoreh serta peningkatan usia pekebun kecil yang mengehadkan keupayaan mereka menjalankan aktiviti penorehan secara berterusan.
“Faktor lain termasuk cuaca tidak menentu yang mengurangkan bilangan hari menoreh, peningkatan kos pengeluaran, ancaman penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP) serta ketidaktentuan harga yang mempengaruhi keputusan pekebun kecil untuk meneruskan aktiviti penorehan.
“Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, faktor cuaca, kekurangan penoreh dan ketidaktentuan pasaran terus membataskan aktiviti penorehan, sekali gus mempengaruhi jumlah pengeluaran getah asli negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat yang meminta penjelasan mengenai faktor kemerosotan pengeluaran getah asli negara pada 2025 serta kesannya terhadap kelangsungan industri domestik.

Intervensi kerajaan sokong peningkatan pengeluaran
Bagi menangani cabaran itu, kementerian melaksanakan Program Konsolidasi Kawasan Getah Matang Terbiar, IPL dan IPG, selain program melalui agensi pelaksana berkaitan.
Menurut Noraini, kementerian yakin aliran positif harga pasaran getah asli yang disokong peningkatan permintaan dapat menggalakkan aktiviti penorehan dan pengeluaran negara.
Pelaksanaan intervensi berkenaan dijangka membantu usaha memperkukuh bekalan getah asli tempatan, dengan kesannya terhadap pengeluaran berlaku secara berperingkat.
Konflik Asia Barat buka peluang kepada getah asli
Dalam perkembangan berkaitan, konflik berlarutan di Asia Barat berpotensi mengurangkan bekalan bahan mentah petroleum bagi pengeluaran getah sintetik, sekali gus meningkatkan harganya.
Noraini berkata, keadaan itu berpotensi membuka peluang kepada peningkatan permintaan terhadap getah asli, khususnya bagi aplikasi yang sesuai untuk menggantikan getah sintetik.
Perkembangan pasaran tersebut berpotensi memberikan ruang kepada industri getah asli untuk memanfaatkan permintaan terhadap bahan alternatif, tertakluk kepada kesesuaian penggunaannya.
Bekalan tempatan penting untuk kelangsungan industri
Noraini berkata, kementerian akan terus berusaha memperkukuh bekalan getah asli tempatan bagi menyokong kelangsungan industri domestik, seiring pelaksanaan intervensi dan keadaan pasaran yang menggalakkan.
Beliau berkata, peningkatan pengeluaran secara berterusan dapat membantu menyediakan bekalan bahan mentah yang lebih mencukupi kepada industri tempatan, selain mengurangkan kebergantungan kepada getah asli import.
Peningkatan bekalan itu juga berpotensi membuka ruang kepada penggunaan getah asli bagi menggantikan getah sintetik dalam aplikasi yang bersesuaian, sekali gus menyokong kelangsungan industri getah domestik. - DagangNews.com





