MARGMA mahu levi eksport sarung tangan getah dikaji semula

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 2:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MARGMA mahu levi eksport sarung tangan getah dikaji semula Image from: MARGMA mahu levi eksport sarung tangan getah dikaji semula liza14/10/2026 - 14:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan mengkaji semula levi eksport sarung tangan getah bagi mengurangkan beban kos industri dan mengekalkan daya saing Malaysia dalam pasaran global menerusi Belanjawan 2027.

 

Presidennya, Oon Kim Hung berkata pengurangan kos yang tidak perlu akan membantu pengilang menarik pelaburan, mengembangkan eksport dan mengekalkan kedudukan Malaysia dalam pasaran sarung tangan getah dunia.

 

Beliau berkata, sokongan berterusan kerajaan terhadap insentif pelaburan dan automasi juga penting bagi membantu pengilang menguruskan peningkatan kos operasi sambil mengekalkan daya saing di peringkat antarabangsa.

 

Industri sarung tangan getah kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara dengan nilai eksport melebihi RM7 bilion pada separuh pertama 2026, merangkumi kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan eksport produk getah Malaysia.

 

Eksport sarung tangan getah lepasi RM7 bilion

Oon berkata, MARGMA menyambut baik langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 yang menggalakkan automasi, pendigitalan, inovasi dan pembuatan mampan kerana aspek itu penting untuk mengekalkan daya saing Malaysia dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

 

“MARGMA menyokong usaha kerajaan untuk mempercepat penggunaan teknologi pembuatan termaju, meningkatkan keupayaan tenaga kerja dan memacu pertumbuhan produktiviti.

 

“Insentif pelaburan dan sokongan automasi yang berterusan amat penting bagi membantu pengilang menguruskan peningkatan kos operasi sambil mengekalkan daya saing di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bekalan lateks perlu kekal berdaya saing

Dalam pada itu, MARGMA turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem getah asli dan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil.

 

Oon berkata, dasar kerajaan perlu memastikan bekalan lateks getah asli kepada pengilang hiliran kekal mampu milik, stabil dan berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan mampan di sepanjang rantaian nilai industri.

 

Pada 9 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) buat kali ketiga bagi pekebun kecil kepada RM3.30 sekilogram, yang akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil.

 

MARGMA mahu halangan perdagangan ditangani

Selain isu kos, MARGMA turut menggalakkan sokongan berterusan kerajaan bagi menangani halangan perdagangan antarabangsa dan cabaran akses pasaran yang dihadapi pengeksport Malaysia.

 

Menurut Oon, usaha itu penting untuk memastikan persaingan yang adil dalam pasaran global serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan penjagaan kesihatan antarabangsa.

 

Beliau berkata, persatuan itu bersedia bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pihak berkepentingan lain untuk membangunkan dasar yang menggalakkan pelaburan semula dan meningkatkan daya saing industri.

 

Kerjasama itu juga bertujuan menyokong pertumbuhan jangka panjang industri sarung tangan getah Malaysia, katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved