Kerajaan tubuh lembaga bebas pantau pelaksanaan MediAsas menjelang Januari 2027

LocalHealth & Fitness
4 Nov 2026 • 11:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan tubuh lembaga bebas pantau pelaksanaan MediAsas menjelang Januari 2027 Image from: Kerajaan tubuh lembaga bebas pantau pelaksanaan MediAsas menjelang Januari 2027 liza04/11/2026 - 11:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Kerajaan menubuhkan Lembaga MediAsas bebas bagi menyediakan pengawasan strategik dan memantau pelaksanaan pelan MediAsas menjelang peluasan inisiatif perlindungan perubatan asas itu ke seluruh negara pada penghujung Januari 2027.

 

Penubuhan lembaga berkenaan diumumkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) sebagai langkah memastikan pelaksanaan, pentadbiran dan prestasi MediAsas berjalan secara teratur, selain melindungi kepentingan awam serta menjamin kemampanan jangka panjang pelan berkenaan.

 

Lembaga itu dipengerusikan Profesor Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor dan dianggotai lima ahli lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang dasar awam, penjagaan kesihatan, insurans dan takaful, operasi hospital serta pengurusan perniagaan.

 

Ahli lain ialah Profesor Dr. Elil Renganathan, Dato’ Hamidah Naziadin, Ivan Loh Ee Hoe, Serena Thio Hui Ming dan Profesor Dr. Woo Yin Ling.

 

Lembaga berkenaan turut dianggotai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia, manakala operasi sokongannya akan dikendalikan Pejabat MediAsas di bawah ProtectHealth Corporation.

 

Selain itu, lembaga berkenaan akan menerima khidmat nasihat pakar antarabangsa, Profesor Dr. Winnie Yip dari Harvard T.H. Chan School of Public Health serta penasihat teknikal, Datuk Jessica Chew yang juga bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penubuhan lembaga itu penting bagi memastikan reformasi penjagaan kesihatan kerajaan memberikan manfaat dan hasil rawatan lebih baik kepada pesakit.

 

“Lembaga berkenaan akan menggabungkan perspektif sektor penjagaan kesihatan dan industri bagi membantu mengurus kos perubatan dengan lebih berkesan, memastikan perlindungan mudah diakses serta menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

MediAsas diperluas ke seluruh negara Januari 2027

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sedang menyediakan asas bagi memastikan kejayaan MediAsas menjelang pelaksanaan nasional pada penghujung Januari 2027.

 

Katanya, lembaga bebas itu akan menyediakan pengawasan strategik terhadap pelaksanaan dan prestasi pelan berkenaan, selain memastikan kepentingan awam terus dilindungi.

 

Kepelbagaian kepakaran ahli lembaga juga dijangka membantu peralihan MediAsas daripada fasa rintis kepada pelaksanaan di seluruh negara, sekali gus menyokong reformasi berterusan dalam sektor penjagaan kesihatan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, langkah di bawah Belanjawan 2027 turut menyokong peluasan akses kepada perlindungan perubatan asas, khususnya bagi golongan yang mempunyai perlindungan insurans serta takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) terhad atau tidak mempunyai perlindungan sedia ada.

 

Premium atau caruman bagi perlindungan yang dibeli untuk individu dan ahli keluarga terdekat mereka layak mendapat pelepasan cukai pendapatan.

 

Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM40 juta bagi menggalakkan pengambilan perlindungan perubatan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja.

 

Reformasi turut sasar ketelusan caj hospital swasta

Selain MediAsas, JBMKKS terus mempergiat pelaksanaan reformasi di bawah Strategi RESET bagi menangani tekanan peningkatan kos penjagaan kesihatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan swasta.

 

Antara inisiatif utama ialah pembangunan rangka kerja pengebilan seragam bagi hospital swasta yang diterajui Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

 

Rangka kerja itu bertujuan meningkatkan ketelusan dan keseragaman pengebilan hospital, sekali gus memberikan kefahaman lebih jelas kepada pesakit mengenai caj yang dikenakan serta memudahkan perbandingan harga bagi perkhidmatan yang lazim ditawarkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved