Sarawak Microelectronics Design sasar IPO di Bursa Malaysia menjelang 2030, pacu industri cip negeri

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak Microelectronics Design sasar IPO di Bursa Malaysia menjelang 2030, pacu industri cip negeri Image from: Sarawak Microelectronics Design sasar IPO di Bursa Malaysia menjelang 2030, pacu industri cip negeri liza04/11/2026 - 15:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Sarawak Microelectronics Design (SMD), syarikat milik kerajaan negeri Sarawak yang terlibat dalam reka bentuk cip semikonduktor, merancang untuk dikomersialkan dan menyasarkan penyenaraian di Bursa Malaysia seawal 2030.

 

Perancangan itu digariskan menerusi Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang meletakkan SMD sebagai antara peneraju pembangunan ekosistem semikonduktor negeri itu di bawah visi Silicon Longhouse.

 

Menurut pelan berkenaan, SMD menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya RM2 bilion pelaburan serta menyumbang kepada usaha mewujudkan lebih 195,000 pekerjaan baharu dan 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 2022 itu memberi tumpuan kepada reka bentuk cip bernilai tinggi, khususnya bagi aplikasi tenaga boleh baharu dan infrastruktur digital.

 

Sektor semikonduktor Sarawak yang diterajui SMD dijangka menyumbang RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu mulai 2030.

 

Bangunkan teknologi AI dan cip kuasa

Antara teknologi yang sedang dibangunkan SMD ialah keteq.ai, penyelesaian kecerdasan buatan (AI) yang menawarkan keupayaan pembetulan kerosakan secara masa nyata dalam sistem kuasa.

 

Syarikat itu turut membangunkan modul kuasa semikonduktor sebatian Gallium Nitride (GaN) yang boleh disepadukan dengan teknologi berkenaan untuk kegunaan grid tenaga, tenaga boleh baharu dan pusat data.

 

Pembangunan teknologi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama CSA Catapult dan 5G3i dari United Kingdom, dan kini berada pada peringkat kesediaan komersial.

 

Selain itu, SMD turut membangunkan mikropengawal termaju bagi aplikasi automotif dengan memanfaatkan harta intelek (IP) mikropengawal automotif sedia ada daripada Melexis.

 

Teknologi itu direka untuk menyokong fungsi kawalan, pemprosesan data dan komunikasi dalam pelbagai aplikasi termasuk unit kawalan enjin, sistem kawalan penerbangan serta sistem navigasi.

 

Menurut pelan hala tuju itu, pengalaman Melexis dalam mereka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor sebatian bagi sektor automotif turut membuka ruang penggunaan teknologi berkenaan dalam sektor aeroangkasa berikutan persamaan keperluan dan penggunaannya.

 

Perluas aplikasi menerusi sistem pintar

Dalam pada itu, inisiatif Sistem Terbenam Elektronik (Etes) SMD merangkumi pembangunan Sarapeg 2.0, iaitu penanda sempadan tanah pintar yang mengintegrasikan GPS dan/atau cip mikro sensor.

 

Inisiatif itu turut merangkumi pembangunan aplikasi berasaskan data penanda tanah berkenaan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15, iaitu Kehidupan di Darat.

 

SMD juga sedang membangunkan sistem maklumat geografi (GIS) generasi baharu berasaskan awan dan dilengkapi AI yang dikenali sebagai next-gen e-Lasis. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved