PUTRAJAYA - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar bakal direman pagi ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, kedua-dua mereka ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM 4 petang semalam.
Difahamkan, prosiding reman berkenaan akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Terdahulu, SPRM menerusi kenyataan ringkas semalam mengesahkan penahanan dua lelaki berusia 60an.
Penahanan tersebut berlaku hanya lima hari selepas seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.

Bekas CEO berkenaan sebelum ini dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, dengan Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman SPRM.
Laporan RCI setebal 211 halaman itu didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu selepas siasatan dijalankan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh antara 2014 hingga 2020.
Susulan penerbitan laporan tersebut, SPRM menubuhkan pasukan siasatan khas bagi meneliti penemuan RCI, termasuk aspek pelaburan TH, kontrak, perjanjian, minit mesyuarat serta dokumen berkaitan keputusan pelaburan.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan sebanyak 14 kertas siasatan telah dibuka, selain 28 premis digeledah dan keterangan daripada 115 saksi direkodkan.
Seramai tujuh individu, termasuk empat bekas pegawai kanan pengurusan TH, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Siasatan SPRM merangkumi beberapa kemungkinan kesalahan, antaranya rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
RCI berkenaan ditubuhkan susulan kebimbangan terhadap jurang kira-kira RM11 bilion antara aset dan liabiliti TH, selain persoalan mengenai pematuhan institusi itu terhadap undang-undang yang mengawal selia operasinya. - Getaran, 27 Ogos 2026






