SPRM Tahan Bekas Pengerusi Tabung Haji, Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 7:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

SPRM Tahan Bekas Pengerusi Tabung Haji, Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.

Kedua-dua individu berkenaan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi prosiding reman.

Dalam kenyataan ringkas hari ini, SPRM mengesahkan penahanan itu namun tidak mendedahkan identiti kedua-dua individu berkenaan atau kesalahan yang sedang disiasat.

Penahanan tersebut berlaku hanya lima hari selepas seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.

Bekas CEO berkenaan sebelum ini dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, dengan Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman SPRM.

Laporan RCI setebal 211 halaman itu didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu selepas siasatan dijalankan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh antara 2014 hingga 2020.

Susulan penerbitan laporan tersebut, SPRM menubuhkan pasukan siasatan khas bagi meneliti penemuan RCI, termasuk aspek pelaburan TH, kontrak, perjanjian, minit mesyuarat serta dokumen berkaitan keputusan pelaburan.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan sebanyak 14 kertas siasatan telah dibuka, selain 28 premis digeledah dan keterangan daripada 115 saksi direkodkan.

Seramai tujuh individu, termasuk empat bekas pegawai kanan pengurusan TH, turut ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan SPRM merangkumi beberapa kemungkinan kesalahan, antaranya rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

RCI berkenaan ditubuhkan susulan kebimbangan terhadap jurang kira-kira RM11 bilion antara aset dan liabiliti TH, selain persoalan mengenai pematuhan institusi itu terhadap undang-undang yang mengawal selia operasinya. - Getaran, 26 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved