
Kerajaan wajar memperluas bantuan kepada isi rumah untuk beralih kepada tenaga solar sebagai langkah jangka panjang bagi membantu rakyat mengurangkan bil elektrik secara berterusan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pelaburan bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar berpotensi mengurangkan kebergantungan isi rumah terhadap bekalan elektrik daripada grid dalam jangka panjang.
Katanya, cadangan itu selari dengan keperluan mencari penyelesaian berkesan susulan kenaikan bil elektrik yang memberi kesan kepada rakyat.
“Kami menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan akan meneliti langkah mitigasi bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan bil elektrik.
“Namun, rakyat memerlukan penyelesaian yang berkesan untuk jangka panjang. Kerajaan wajar membantu lebih banyak isi rumah beralih kepada tenaga solar supaya mereka berpeluang mengurangkan bil elektrik secara berterusan,” katanya.
Menurut Akmal, kerajaan boleh mempertimbangkan dua langkah utama, iaitu menyediakan insentif kepada syarikat dalam industri solar bagi menggalakkan lebih banyak penyedia menawarkan perkhidmatan pemasangan.
Jelasnya, persaingan sihat dalam industri berkenaan berpotensi membantu menurunkan kos serta menjadikan pemasangan sistem solar lebih mampu milik kepada rakyat.
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan menyediakan rebat kepada isi rumah yang memasang sistem solar bagi mengurangkan kos permulaan yang sering menjadi antara halangan utama kepada penggunaan teknologi berkenaan.
“Jika kerajaan terus bergantung pada bantuan untuk menampung kenaikan kos penjanaan elektrik, beban kewangan negara boleh meningkat apabila harga bahan api naik,” ujarnya.
Akmal berkata, sudah tiba masanya tenaga solar dijadikan pilihan yang lebih mudah dicapai oleh rakyat.
Baca juga:“Ringankan bil mereka hari ini dan berikan mereka jalan untuk menjimatkan kos elektrik pada masa hadapan,” katanya.






