Kerajaan yakin pertumbuhan KDNK 2026 melebihi lima peratus : Amir Hamzah

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 8:06 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kerajaan yakin pertumbuhan KDNK 2026 melebihi lima peratus : Amir Hamzah

KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus tahun ini, sekali gus berpotensi mencatatkan pertumbuhan melebihi paras itu untuk tahun ketiga berturut-turut, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau memberitahu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6 peratus pada suku kedua 2026, dengan pertumbuhan bagi tahun keseluruhan 2026 diunjurkan antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus.

“Kerajaan kini yakin bahawa pertumbuhan tahun ini akan melebihi 5 peratus.

“Ini akan menandakan tahun ketiga berturut-turut pertumbuhan melebihi 5 peratus di bawah Kerajaan Madani,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan (MoF) di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata pertumbuhan ekonomi pada 2027 diunjurkan antara 4.2 dan 5.2 peratus sementara kadar pengangguran kekal rendah pada 2.9 peratus pada Ogos. Nilai pelaburan yang diluluskan dan perdagangan pula mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah.

“Ringgit kekal berdaya tahan. Kedudukan daya saing negara turut bertambah baik dengan ketara, meningkat daripada tangga ke-34 pada 2024 kepada tangga ke-15 dalam tempoh hanya dua tahun.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa ekonomi negara berada di landasan yang betul, dengan asas yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global.

“Kita sedang menggembleng keupayaan dan sumbangan semua pihak untuk memajukan agenda pembinaan negara yang berteraskan kerangka Ekonomi Madani,’’ katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal mengembang yang bertanggungjawab bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, sambil memastikan manfaatnya dinikmati rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah memberitahu, Kerajaan Persekutuan mengekalkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) manakala Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum menjadi pilihan selagi kos sara hidup membebankan.

Kerajaan juga, katanya, akan terus menambah baik SST bagi mengurangkan kesan cukai bertindih, mengurangkan kos perniagaan selain memudahkan aspek pematuhan.

Jelas beliau, ini penting memandangkan GST cenderung bersifat regresif berikutan golongan berpendapatan rendah akan membelanjakan bahagian lebih besar daripada pendapatan mereka untuk membeli barangan dan perkhidmatan.

“Dengan kata lain, walaupun kadar cukai sama, beban relatif kepada pendapatan adalah lebih berat bagi rakyat terutama golongan B40 dan M40. Maka, hasil tambahan mesti dinilai bersama beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Amir Hamzah berkata kutipan SST pada masa ini mencecah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyamai tahap GST pada 2017.

“Ini bermakna, saranan untuk menggantikan SST dengan GST tidak semestinya menjana hasil tambahan dan hanya mengalihkan tanggungan cukai daripada sektor perniagaan termasuk pengeksport kepada rakyat sepenuhnya.

“Peningkatan ini menunjukkan keupayaan SST menjana hasil untuk membiayai keperluan negara. Pada masa yang sama, kerajaan mempunyai ruang menetapkan barang dan perkhidmatan yang dicukai secara bersasar serta mengecualikan barangan asas,” katanya.

Amir Hamzah berkata dari segi pematuhan, hampir 700,000 perniagaan berdaftar di bawah GST pada 2018 berbanding hanya sekitar 130,000 di bawah SST pada 2026 yang bermakna lebih banyak perniagaan perlu menanggung kos pematuhan di bawah sistem GST.

Beliau memberitahu, walaupun kerajaan mengiktiraf kelebihan GST dari segi kecekapan kutipan, ketelusan dan mekanisme kredit cukai input, namun pilihan sistem percukaian mesti mengambil kira kemampuan rakyat. - 29 Oktober, 2026

The post Kerajaan yakin pertumbuhan KDNK 2026 melebihi lima peratus : Amir Hamzah appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved