'Kereta berpusing beberapa kali sebelum terbalik' - Dua wartawan kemalangan ketika tugasan TPM

LocalCars
25 Oct 2026 • 12:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kereta berpusing beberapa kali sebelum terbalik' - Dua wartawan kemalangan ketika tugasan TPM
Kenderaan dinaiki Zahratulhayat bersama Nur Afiradina yang terbabit dalam nahas di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Taman Kledang Permai, Menglembu pada Ahad dilaporkan berpusing beberapa kali sebelum terbalik.
Image from: 'Kereta berpusing beberapa kali sebelum terbalik' - Dua wartawan kemalangan ketika tugasan TPM
Zahratulhayat (kanan) bersama Nur Afiradina menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Image from: 'Kereta berpusing beberapa kali sebelum terbalik' - Dua wartawan kemalangan ketika tugasan TPM

IPOH - Dua wartawan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbalik dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika dalam perjalanan tugasan liputan program Timbalan Perdana Menteri pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, berada di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Taman Kledang Permai, Menglembu.

Kedua-dua mereka menaiki kereta jenis Perodua Bezza dalam perjalanan dari Meru Raya bagi membuat liputan majlis perasmian program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk yang dihadiri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

**media[3688832]**

Nur Afiradina yang memandu kereta menerima rawatan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat cedera di tangan dan leher manakala Zahratulhayat menerima rawatan pesakit luar dengan kesan lebam di muka dan tangan.

Kedua-dua mereka yang juga ahli Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.

Zahratulhayat berkata, semasa kejadian, kenderaan mereka sedang berhenti di persimpangan tersebut kerana keadaan lampu isyarat merah.

Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba satu rempuhan diikuti dentuman kuat berlaku dari arah belakang.

"Kereta dinaiki kami berpusing beberapa kali sebelum terbalik. Kami hanya sedar ada sebuah lori melanggar bahagian belakang apabila berjaya keluar dari kenderaan," katanya kepada Sinar Harian.

Akibat rempuhan itu, kenderaan dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk kesan remuk di bahagian belakang dan tepi dengan sebahagian cermin pecah.

**media[3688826]**

Lori yang dipandu seorang lelaki itu pula hilang kawalan sebelum terbabas ke kawasan semak di laluan bertentangan.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan turut cedera dan dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook menzahirkan rasa sedih menerima berita kemalangan yang menimpa kedua-dua pengamal media berkenaan.

Beliau mendoakan agar urusan rawatan mereka dipermudahkan serta segera sembuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved