
GUA MUSANG: Kemalangan maut yang meragut tiga nyawa termasuk seorang kanak-kanak di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk di sini awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas lalu bertembung dengan sebuah treler tangki membawa muatan diesel.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua MyVi iaitu Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, dan penumpang Muhammad Ziekur Iman Abli, 11 serta seorang wanita dikenali sebagai Maria maut di lokasi.
Sementara seorang lagi penumpang, Nur Balqis Abli, 21, mengalami cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian kereta dipandu Muhamad Syazwan Hakimi dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler tangki yang membawa muatan diesel dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta bersama dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, semua mangsa yang meninggal dunia berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.-UTUSAN
The post Kereta hilang kawalan punca kemalangan ragut tiga nyawa di Gua Musang appeared first on Utusan Malaysia.






