
GUA MUSANG – Seorang ibu tidak menyangka perbualan mengenai kematian dengan anak lelakinya, tiga hari lalu menjadi kenyataan apabila mekanik di sebuah pusat servis kenderaan itu maut dalam nahas yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini.
Faridah Bedollah, 59, berkata, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, secara tiba-tiba bertanyakan mengenai urusan pengebumiannya sekiranya dia meninggal dunia.
Katanya, Muhamad Syazwan ketika itu baru pulang ke rumah selepas mengetahui bekas majikannya meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Tiga malam sebelum kejadian, bekas majikannya meninggal dunia akibat serangan jantung. Selepas itu, dia tanya jika dia meninggal dunia, bagaimana bayaran untuk menguruskan mayatnya.
“Saya jawab, kita kena sempurnakan pengurusan jenazah walaupun perlu berhutang kerana menguruskan jenazah itu perkara wajib. Saya tak sangka dia yang akan meninggal dunia dahulu kerana dia sihat dan masih muda,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, di sini hari ini.
Faridah memberitahu, Muhamad Syazwan memaklumkan kepadanya dia ingin ke Cameron Highlands, Pahang selepas mendapat cuti daripada majikannya untuk menemani ibu rakan sekampungnya.
Katanya, anak bongsu daripada lapan beradik itu memandu kereta milik ibu rakannya yang dikenali sebagai Maria dan memaklumkan perjalanan tersebut hanya pergi dan balik pada hari yang sama.
“Selalunya kalau nak keluar, dia akan mengejutkan saya daripada tidur dulu sebelum bergerak. Tetapi, kali ini dia tak kejut saya. Dalam pukul 1 pagi, dia masih ada di rumah neneknya yang terletak berdekatan rumah kami kerana dia memang selalu tidur di situ.
“Pagi tadi, abangnya memaklumkan adiknya sudah bertolak ke Cameron Highlands. Kira-kira pukul 9 pagi, seorang jiran datang memaklumkan Syazwan sudah meninggal dunia dalam kemalangan,” katanya.
Menurut Faridah, Muhamad Syazwan baru kira-kira empat bulan bekerja sebagai mekanik di sebuah pusat servis selepas memulakan tugas pada awal bulan April lalu.
Katanya, jenazah Muhamad Syazwan Hakimi dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tegayong Barat, Melor, Kota Bharu selepas proses bedah siasat.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang ibu dan anak lelakinya antara tiga mangsa yang disahkan maut dalam nahas sebuah kereta bertembung dengan treler tangki diesel di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga maut: Ibu terkejut anak tanya cara urus pengebumian appeared first on Kosmo Digital.





