Keretapi Sarong 2026 meriahkan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara

16 Sep 2026 • 4:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keretapi Sarong 2026 meriahkan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara
Suasana di Kuala Lumpur Central yang dibanjiri para peserta yang mengenakan kain sarong dan pakaian tradisional menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi menyertai Program Keretapi Sarong 2026 pada Rabu. Foto Bernama
Image from: Keretapi Sarong 2026 meriahkan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara
Pelbagai gelagat unik dan mencuit hati para peserta menyemarakkan lagi penganjuran Keretapi Sarong 2026 (KS26) edisi ke-10. Foto Bernama
Image from: Keretapi Sarong 2026 meriahkan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara
Peserta mengenakan kain sarong dan pakaian tradisional pada Program Keretapi Sarong 2026 di Raintree Plaza, The Tun Razak Exchange (TRX) pada Rabu. Foto Bernama
Image from: Keretapi Sarong 2026 meriahkan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara
Peserta mengenakan pakaian tradisional pada Program Keretapi Sarong 2026 di Raintree Plaza, The Tun Razak Exchange (TRX) pada Rabu. Foto Bernama
Image from: Keretapi Sarong 2026 meriahkan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara
Para peserta menunjukkan bakat mereka dalam acara tarian semasa menyertai program Keretapi Sarong 2026 di pekarangan Muzium Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir pada Rabu. Foto Bernama
Image from: Keretapi Sarong 2026 meriahkan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara
Para peserta berpakaian tradisional menyertai acara tarian pada program Keretapi Sarong 2026 di Stesen Keretapi Ipoh pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Program Keretapi Sarong 2026 (KS26) yang berlangsung di seluruh negara pada Rabu dimeriahkan dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Malaysia yang menggayakan pakaian tradisional, sekali gus memperkasakan warisan budaya tempatan serta memupuk semangat perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia.

Di KUALA LUMPUR, sambutan KS26 edisi ke-10 yang berpusat di Raintree Plaza, TRX menyaksikan perhimpunan meriah sehingga 25,000 peserta.

Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, selepas sedekad, program itu berkembang sebagai wadah perpaduan komuniti dan bukan lagi sekadar acara menaiki pengangkutan awam berbusana sarung.

**media[3649402]**

Antara pendekatan baharu yang diterjemahkan ialah penawaran Stesen Wanita di MRT Titiwangsa bagi memberi ruang yang lebih selesa dan inklusif.

"Ramai yang cakap, kami juga mahu sertai tetapi kami ini sedikit introvert dan kurang selesa dengan pengunjung yang terlalu ramai. Jadi, kami fikir, bagaimana kami mahu memberi ruang kepada wanita-wanita ini untuk sama-sama mencipta, sama-sama menyumbang dan sama-sama meraikan Hari Malaysia,” katanya.

**media[3649404]**

Beliau berkata, pendekatan berasaskan komuniti itu turut diraikan menerusi Joget Sarong di pentas utama sebagai hadiah dan penghargaan kepada seluruh pemakai sarung selepas sedekad bersama-sama meraikan Hari Malaysia dalam semangat perpaduan.

Acara di ibu negara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai kejutan utama, di samping persembahan secara langsung daripada Aina Abdul dan Didie Shazry.

**media[3649403]**

Di PULAU PINANG, lebih 15,000 pengunjung membanjiri pekarangan Muzium Feri Pulau Pinang bagi menjayakan Keretapi Sarong George Town 2026.

Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman berkata, program dari 8 pagi hingga 11 malam itu menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum yang anggun berbusana tradisional seperti kebaya, cheongsam, hanfu, sari, serta pakaian etnik Sabah dan Sarawak.

"Program ini menyediakan ruang terbaik untuk orang ramai berkumpul dan meraikan semangat Hari Malaysia dalam suasana penuh muhibah,” katanya.

Di KELANTAN, lebih 500 peserta menaiki perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Tanah Merah, Pasir Mas, dan Tumpat bagi memeriahkan program Pasar Che Siti x Keretapi Sarong 2026.

Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Kotak Seni Lupin, 29, memaklumkan peserta tahun ini tampil dengan gaya lebih berani dengan sentuhan pelbagai warna menarik, namun masih mengekalkan konsep pemakaian sarung.

"Sambutan kali keempat di Kelantan tahun ini lebih meriah dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung, selain diserikan dengan persembahan kebudayaan termasuk Mak Yong.

"Program yang berlangsung sehingga 19 September ini juga menyediakan reruai jualan pelbagai produk kraf tangan, makanan dan cenderamata kenangan buat pengunjung,” katanya, sambil memberitahu program itu disertai pelbagai kaum di Kelantan, termasuk minoriti Siam, India dan Cina.

Di MELAKA, kira-kira 3,000 peserta pelbagai kaum termasuk Baba Nyonya, Chetti dan Portugis berkumpul seawal 7 pagi di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka sebelum berarak sejauh dua kilometer melalui A Famosa dan berakhir di Menara Taming Sari.

**media[3649401]**

Pelbagai pengisian menarik diadakan bersempena dengan program itu, antaranya persembahan kebudayaan, pertandingan busana kreatif Jalur Gemilang, joget lambak, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Kelab Alam Sekitar, selain persembahan khas Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

Di PERAK, penganjuran tahun kelima KS26 oleh Ipoh Social Club menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta di Stesen Keretapi Ipoh.

**media[3649400]**

Pengasas Ipoh Social Club, Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi berkata program bermula dengan acara joget lambak dan permainan tradisional sebelum peserta dibawa mengunjungi lokasi bersejarah sekitar Pekan Lama Ipoh, antaranya Arlene House Museum, Ho Yan Hor Museum dan Hourglass Coffee. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved