Keris Jubli Perak simbol 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor

7 Oct 2026 • 2:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Keris Jubli Perak simbol 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor

SHAH ALAM, 7 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima persembahan Keris Jubli Perak yang dihasilkan khas bagi memperingati 25 tahun pemerintahan Baginda di atas takhta.

Selangor Royal Office menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan penghasilan keris istiadat itu berteraskan kecintaan dan penghargaan Baginda terhadap seni, warisan serta kepelbagaian tradisi keris Melayu.

Menurutnya, Keris Jubli Perak sarat dengan simbolik yang mencerminkan perjalanan pemerintahan Baginda, identiti Selangor serta makna dan keistimewaan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda.

“Panjang keris 25 inci melambangkan 25 tahun pemerintahan Baginda manakala penggunaan tujuh jenis besi itu adalah penyatuan kekuatan.

“Unsur helang putih menzahirkan keberanian dan kewibawaan manakala kayu Black Healer Wood menghubungkan karya itu dengan warisan serta kepercayaan tradisional Melayu. Tanduk kerbau melambangkan ketahanan dan kehalusan seni pertukangan sementara sembilan tatahan batu permata mewakili sembilan daerah di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cadangan reka bentuk kemudiannya melalui beberapa siri perbincangan dan panduan sebelum dipersembahkan kepada Baginda untuk pertimbangan serta penambahbaikan sehingga mendapat perkenan.

Katanya, tenaga artisan dan tukang mahir dipilih bagi merealisasikan reka bentuk berkenaan, merangkumi penghasilan komponen utama seperti bilah, hulu dan sarung, selain pertukangan perak serta hiasan logam.

Keseluruhan proses penghasilan Keris Jubli Perak mengambil masa 12 bulan, dengan setiap komponen dikerjakan secara teliti sebelum melalui peringkat akhir pemasangan berlian dan batu permata terpilih, kemasan serta penggilapan.

Antara individu yang terlibat dalam pembuatan keris berkenaan ialah Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail; Dato’ Dr Abdul Muati Zamri Ahmad; Dato’ Ar Wan Burhanuddin Wan Hassan; Dato’ Mohamed Raffe Chekku dengan penghasilannya diterajui Yayasan Rafulin.

25 motif berbentuk siku atau ‘chevron’ turut diterapkan bagi mengabadikan perjalanan pemerintahan Baginda merentasi masa lalu dan masa kini, selain membawa harapan untuk masa hadapan.

Keris Jubli Perak itu menjadi lambang peringatan terhadap 25 tahun pemerintahan DYMM Sultan Selangor, selain menzahirkan kekayaan seni warisan Melayu serta dedikasi para artisan dalam memelihara dan memartabatkan seni pertukangan keris untuk generasi akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved