12 Bulan Dihasilkan, Keris Jubli Perak Sultan Selangor Sarat Nilai Warisan Melayu

7 Oct 2026 • 5:40 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

12 Bulan Dihasilkan, Keris Jubli Perak Sultan Selangor Sarat Nilai Warisan Melayu

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima persembahan Keris Jubli Perak yang dihasilkan khas bagi memperingati 25 tahun pemerintahan baginda.

Menurut Selangor Royal Office menerusi perkongsian di media sosial hari ini, penghasilan keris istiadat berkenaan tercetus daripada kecintaan dan penghargaan baginda terhadap seni, warisan serta kepelbagaian tradisi keris Melayu.

Image from: 12 Bulan Dihasilkan, Keris Jubli Perak Sultan Selangor Sarat Nilai Warisan Melayu
Kredit: Facebook Selangor Royal Office

Proses penghasilan keris berkenaan mengambil masa kira-kira 12 bulan, bermula dengan penyelidikan mengenai sejarah, perlambangan, seni pertukangan dan bentuk tradisional keris.

Reka bentuk awal kemudiannya dikemukakan untuk pertimbangan Sultan Selangor sebelum beberapa penambahbaikan dilakukan berdasarkan panduan dan perkenan baginda.

Reka bentuk akhir seterusnya direalisasikan oleh tenaga artisan serta tukang mahir yang dipilih.

Antara individu yang terlibat dalam penghasilan keris bersejarah itu ialah Engku Panglima Setia Diraja Datuk Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail, Datuk Dr Abdul Muati Zamri Ahmad, Datuk Ar Wan Burhanuddin Wan Hassan dan Datuk Mohamed Raffe Chekku.

Projek penghasilan keris tersebut diterajui Yayasan Rafulin.

Komponen utama keris merangkumi bilah, hulu dan sarung yang dihasilkan secara teliti, selain dilengkapi pertukangan perak serta hiasan logam.

Pada peringkat akhir, sarung keris dihiasi dengan berlian dan batu permata terpilih sebelum melalui proses kemasan serta penggilapan.

Menariknya, Keris Jubli Perak itu turut sarat dengan simbolik yang berkait rapat dengan pemerintahan Sultan Selangor.

Image from: 12 Bulan Dihasilkan, Keris Jubli Perak Sultan Selangor Sarat Nilai Warisan Melayu
Kredit: Facebook Selangor Royal Office

Ukuran keris sepanjang 25 inci, misalnya, melambangkan 25 tahun pemerintahan baginda.

Penggunaan tujuh jenis besi pula membawa makna penyatuan kekuatan, manakala unsur Helang Putih melambangkan keberanian dan kewibawaan.

Selain itu, kayu Black Healer Wood digunakan bagi menghubungkan keris berkenaan dengan warisan serta kepercayaan tradisional Melayu.

Tanduk kerbau pula melambangkan ketahanan dan kehalusan seni pertukangan.

Sebanyak sembilan tatahan batu permata mewakili sembilan daerah di Selangor, manakala 25 motif berbentuk siku atau chevron menggambarkan perjalanan pemerintahan baginda dari masa lalu dan masa kini, selain harapan untuk masa hadapan.

Baca juga:

Menurut kenyataan itu, Keris Jubli Perak bukan sekadar sebuah karya seni, sebaliknya menjadi simbol yang merakam sejarah 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor menerusi warisan seni Melayu.

Jelasnya, penghasilan keris tersebut turut mencerminkan usaha memelihara seni pertukangan keris supaya terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved