
SHAH ALAM, 7 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM41.72 juta daripada lima syarikat korporat hari ini.
Bayaran kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bagi tempoh haul 2025 itu didahului Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM27.01 juta yang diwakili pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Setakat ini, jumlah berkenaan merupakan sumbangan zakat korporat terbesar diterima Zakat Selangor.
Baginda turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM5.6 juta.
Kumpulan Kewangan Bank Islam pula menyerahkan zakat berjumlah RM4.22 juta.
Turut membuat bayaran ialah Bank Rakyat RM3.38 juta dan Rural Capital Sdn Bhd berjumlah RM1.51 juta.
Majlis serahan yang berlangsung di Istanq Bukit Kayangan, di sini, turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dan Pengerusi Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
Pada Mei, Zakat Selangor memaklumkan RM1.33 bilion agihan zakat direkodkan tahun lalu, dengan lebih 60 peratus disalurkan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga di seluruh negeri.
Menurutnya prestasi itu disokong kutipan zakat berjumlah RM1.31 bilion, sekali gus membolehkan bantuan disalurkan secara berterusan melalui pelbagai bentuk intervensi berstruktur.
Selain itu, institusi berkenaan mengenal pasti lebih 14,000 keluarga fakir dan miskin sebagai asnaf baharu hasil pemerkasaan proses penilaian serta peluasan capaian kepada golongan yang sebelum ini belum dikenal pasti.






