“Kerja abah orang tak pandang, sebab itu kami dapat masuk U”, kisah pemuda ini buat warganet sebak

Family & ParentingLifestyle
19 Aug 2026 • 11:34 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

“Kerja abah orang tak pandang, sebab itu kami dapat masuk U”, kisah pemuda ini buat warganet sebak

KUALA LUMPUR – Sebuah perkongsian seorang pemuda mengenai pengorbanan bapanya yang bekerja sebagai petugas kebersihan R&R, menyentuh hati netizen selepas foto yang dikongsinya meraih lebih 300,000 tontonan dan lebih 40,000 tanda suka di TikTok.

Video yang dimuat naik menerusi akaun @zulfithri itu mengetengahkan kisah bapanya yang bekerja keras membesarkan dia dan dua adik beradiknya sehingga mampu melanjutkan pendidikan ke peringkat diploma dan ijazah.

Perkongsian berkenaan turut disertakan dengan sekeping gambar bapanya mengenakan pakaian kerja berwarna oren ketika sedang menjalankan tugas.

Menurut Zulfithri, gambar itu dirakam ketika dia datang menghantar barang kepada bapanya yang sedang bekerja dan baru selesai mencuci tong sampah.

“Dengan kerja abah ni lah abah besarkan kami tiga beradik. Dengan kerja abah ni jugak abah mampu hantar kami belajar sampai diploma, sampai degree,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Katanya, pekerjaan bapanya mungkin tidak dipandang tinggi oleh sesetengah pihak, namun dia sama sekali tidak pernah berasa malu, malah berbangga dengan pekerjaan yang dilakukan bapanya.

“Mungkin kerja abah bukan kerja yang orang pandang tinggi, tapi abang tak pernah rasa malu dengan pekerjaan abah. Tak pernah. Malah abang bangga,” katanya.

Menurutnya, setiap peluh dan penat yang dicurahkan bapanya sepanjang bekerja menjadi sebahagian daripada perjalanan kejayaan mereka adik-beradik.

“Setiap kali abang fikir pasal tu, abang sedar yang di sebalik setiap pencapaian kami, ada penat lelah abah yang mungkin orang lain tak pernah nampak,” katanya.

Zulfithri turut mengakui hanya selepas dewasa dia benar-benar memahami besarnya pengorbanan bapanya dalam memastikan mereka mendapat kehidupan dan pendidikan yang lebih baik.

Perkongsian itu turut mendapat respons daripada pengguna TikTok yang berkongsi pengalaman dan perasaan masing-masing terhadap pengorbanan ibu bapa.

Antaranya, pengguna dikenali sebagai Khairul Jal berkata, kisah berkenaan membuatkannya teringat kepada bapanya di rumah.

“Tetiba teringat ayah dekat rumah. He never made it to university, but he worked hard to make sure all of his children did,” katanya.

Sementara itu, fitriyusoff mengucapkan tahniah kepada Zulfithri kerana menghargai pengorbanan ibu bapa serta tidak pernah malu dengan asal usul keluarga.

“Tahniah! Sentiasalah jadi anak yang mengenang pengorbanan ayah ibu, tidak pernah malu dengan asal usul kita, malah berbangga dengan usaha keras untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Zulfithri dalam hantaran sama turut menitipkan ucapan sempena hari lahir bapanya sambil mendoakan agar diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia serta dimurahkan rezeki.

“Abang mungkin tak selalu cakap, tapi abang bangga sangat jadi anak abah. Doakan selalu kejayaan abang dengan adik-adik,” katanya.

The post “Kerja abah orang tak pandang, sebab itu kami dapat masuk U”, kisah pemuda ini buat warganet sebak appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved