
LAHAD DATU: Kerjasama antara Barisan National (BN) dan Parti Warisan (Warisan) bukan satu perkara baharu memandangkan kedua-dua pihak pernah bekerjasama dalam gerakan Langkah Kinabalu dengan tujuan yang sama iaitu menjatuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata BN pernah bersama GRS namun memilih untuk mengkhianati dan berpakat dengan Warisan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
“Mereka cuba merampas kuasa melalui pintu belakang namun ramai wakil rakyat masih waras dan menolak politik tanpa penghujung ini. Apa yang penting ialah kita mahu pemimpin yang memetingkan kestabilan,” katanya, ketika ditemui selepas menyempurnakan Malam Kebudayaan sempena Festival Vaganza Etnik (Food and Culture) Lahad Datu 2025, di sini.
Nizam berkata di bawah kerajaan GRS, Datuk Seri Hajiji Noor membuktikan keikhlasan dan ketelusan beliau dalam membangun negeri dan mensejahterakan rakyat.
Katanya, di bawah pimpinan GRS pelaburan meningkat, ekonomi berkembang dan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan.
“Jadi inilah kerajaan yang harus kita pertahankan kerana kurang bercakap, kurang berjanji tetapi telah membuktikan banyak memberi manfaat kepada rakyat.
Berbanding dengan kerajaan atau pemimpin yang hanya pandai cakap tetapi apabila sudah berkuasa, apapun tidak dibuat,” kata Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri.
Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Bersatu Sabah Aksyah Nasrah mengkritik dakwaan kerjasama rahsia antara Warisan dan BN menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.
Beliau menyifatkannya sebagai satu “manuver politik” yang boleh menjadikan Sabah sebagai “lembu susu.”Aksyah mendakwa GRS sudah mengetahui perbincangan itu sejak insiden Langkah Kinabalu, menjadikan pendedahan terbabit tidak mengejutkan.
“Jentera GRS sudah bersiap sedia untuk kemungkinan ini,” katanya.
Untuk mengaburi mata rakyat, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Mohd Apdal dikatakan menjual naratif bahawa mereka bergerak secara solo dan bersama rakyat. “Hakikatnya, ini adalah pembohongan besar.”Kenyataan beliau menyusul selepas laporan oleh “Sabah Infor,” yang memetik wartawan The Star, Jaceline Tan, mengenai pertemuan sulit antara Shafie dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Laporan itu mencadangkan wujudnya pakatan pasca pilihan raya, dengan Shafie didakwa sanggup menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada Umno sekiranya mereka kembali berkuasa.
Aksyah melahirkan kebimbangan mendalam, dengan berkata, “Ini bukan sekadar tikam belakang; ini adalah ‘penggal kepala’ rakyat Sabah. Jika benar berlaku, ia akan melahirkan gaya politik ala ‘Keluarga 69’ yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.”Beliau turut menyatakan tentang percanggahan jelas Pengerusi BN, yang sebelum ini menentang kerjasama dengan DAP tetapi kini dikatakan sanggup berkompromi, sehingga timbul label “UMDAP.”Berbeza dengan Hajiji dan GRS, Aksyah menekankan bahawa kerjasama mereka dengan PH adalah ikhlas dan bertujuan memastikan kestabilan.
“Kerjasama ini lahir daripada kejujuran. Salah satu syaratnya ialah lebih dua pertiga kerusi dipertandingkan oleh GRS, membuktikan parti-parti tempatan kekal menjadi tonggak utama pentadbiran Sabah.”Aksyah memberi amaran bahawa pakatan Warisan-BN boleh menjejaskan hak rakyat Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kuasa sebenar masih akan dikawal tangan ghaib dari Malaya. Lebih teruk lagi Sabah akan terus menjadi tabung politik untuk boneka,” tegasnya.
Beliau menyeru pengundi menolak dakwaan Warisan sebagai parti tempatan sepenuhnya dengan menegaskan pakatan itu menyembunyikan agenda berbahaya.
“Jika rakyat membuat pilihan yang salah, Sabah hanya mampu bermimpi tentang kemakmuran dan pembangunan.
“Itulah sebabnya Warisan dan BN mesti ditolak dalam pilihan raya negeri akan datang bagi memastikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya dapat direalisasikan.”

