
LAHAD DATU: Kerajaan negeri terus komited dalam memelihara dan memartabatkan kepelbagaian warisan budaya di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha-usaha yang dilaksanakan adalah bagi memperkukuh identiti budaya.
Hajiji berkata dalam masa sama usaha ini juga dilaksanakan bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.
Katanya, usaha berterusan terus dilakukan bagi menambah baik pemeliharaan warisan budaya dan dalam usaha memacu serta memperkasa industri pelancongan di negeri ini.
Apa juga yang dilakukan oleh kerajaan tidak sia-sia kerana saban tahun, jumlah kehadiran pelancong, khususnya selepas pandemik Covid-19 terus meningkat.
“Tahun lalu sahaja, kita menerima 3.14 juta pelancong dari dalam dan luar negara. Bagaimanapun, semua ini dapat kita capai berkat perpaduan dan keamanan yang kita kecapi hari ini.
“Oleh itu, saya mahu rakyat di negeri ini agar terus meningkatkan perpaduan dan bersatu padu, jangan mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab demi untuk memecahkan perpaduan yang sedia ada,” katanya dalam ucapan perasmian Festival Vaganza Etnik (Food and Culture) Lahad Datu 2025, Selasa.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Negeri Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Hajiji turut memuji penganjuran program itu yang dilihat dapat mengangkat budaya, makanan tradisi dan identiti pelbagai etnik.
Beliau berkata program itu juga menunjukkan bahawa daerah-daerah seperti Lahad Datu mampu menjadi pemacu utama pembangunan pelancongan dan ekonomi negeri.
“Oleh itu, acara seperti ini penting untuk menyatukan rakyat dari pelbagai etnik, mengukuhkan jati diri dan mempromosikan keharmonian negara dengan merayakan kepelbagaian yang ada sebagai kekuatan negara.
“Festival ini juga dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi melalui seni dan budaya. Program ini sudah pasti memberi impak besar kepada ekonomi tempatan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Festival Vaganza Etnik (Food and Culture) Lahad Datu 2025, Datuk Mizma Appehdullah berkata program itu adalah hasil perbincangan bersama Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen Mohd Dzul bagi mencari acara khas yang menjadi identiti Lahad Datu.
Katanya, ia juga bertujuan untuk meraikan keindahan dan kepelbagaian etnik-etnik yang ada di daerah ini melalui makanan, tarian dan pakaian tradisional.
“Lahad Datu bukan sahaja bertuah kerana memiliki khazanah alam seperti Lembah Danum, Blue Ring Reef, Menara Kayangan dan lain-lain tetapi juga kerana mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik.
“Justeru itu, tercetuslah program ini yang menggabungkan keindahan dan kebudayaan masyarakat majmuk di Lahad Datu,” katanya.
Menurut Mizma, program itu juga menjadi platform penyatuan dan pengukuhan perpaduan antara kaum di daerah ini selain membuka peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan.
“Saya berharap program ini mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri dan suntikan dana agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya.
Festival Vaganza Etnik (Food and Culture) Lahad Datu 2025 berlangsung selama tiga hari bermula 28 September lalu dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung.




