
SHAH ALAM – Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak menghalang kerajaan Selangor meneruskan rancangan memeterai perjanjian kerjasama (CSA) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) minggu depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama itu membabitkan Bersatu dan bukannya PN namun kedudukan berkenaan akan disemak dalam tempoh satu hingga dua hari ini.
“(Soal pembatalan pendaftaran PN) Itu masalah dalaman yang harus mereka sendiri selesaikan.
“Ini kerana perancangan kita adalah dengan Bersatu bukan PN,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Profesional Teknologi Pengurusan Bekalan Air di sini, hari ini.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, perjanjian berkenaan dijangka dimeterai selepas 25 atau 26 Oktober ini tertakluk kepada pengesahan lanjut.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan itu dibuat di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan CSA antara kerajaan negeri dan 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu disasarkan dimeterai sebelum pembentangan Belanjawan Selangor. – KOSMO! ONLINE
The post Kerjasama dengan Bersatu bukan PN – Amirudin appeared first on Kosmo Online.






