PRN Melaka: Keputusan RoS batal pendaftaran PN jelas berniat jahat - Hamzah

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 10:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Keputusan RoS batal pendaftaran PN jelas berniat jahat - Hamzah
Hamzah menegaskan, Wawasan menolak keputusan tersebut dan akan mempertahankan hak serta mandat rakyat melalui saluran undang-undang.

SHAH ALAM - Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan kerajaan tidak berani berdepan pembangkang melalui persaingan demokrasi yang adil.

Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan tersebut jelas bertentangan dengan pendirian asal Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) seperti yang terkandung dalam surat bertarikh 6 Oktober 2026.

Melalui surat itu menurutnya, jabatan tersebut menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh PN akan dijawab di peringkat mahkamah dalam prosiding semakan kehakiman.

"Setelah Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober menetapkan pendengaran secara dua pihak pada 22 Oktober, PN telah menulis kepada RoS pada 14 Oktober supaya tiada tindakan diambil sebelum pendengaran tersebut. Namun surat itu tidak dijawab oleh RoS.

"Malah sehari sebelum perintah pembatalan dikeluarkan, iaitu pada 19 Oktober, pihak Peguam Negara sendiri menyatakan dalam hujahan kepada mahkamah bahawa proses pembatalan masih berjalan.

"Namun RoS tetap membatalkan pendaftaran PN, dua hari sebelum Mahkamah Tinggi bersidang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahli Parlimen Larut itu turut mengecam pembatalan berkenaan kerana ia dibuat berdasarkan dua tafsiran berbeza oleh RoS dalam pemakaian Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya pada 13 Julai lalu, empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Berdatu Malaysiq (Bersatu) membuat aduan kepada RoS yang mempersoalkan kuorum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Namun dalam jawapannya pada 16 Julai, RoS merujuk Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dan menetapkan keputusan parti politik berhubung urusan dalamannya adalah muktamad.

"RoS turut menyerahkan perkara tersebut untuk diputuskan secara dalaman mengikut perlembagaan parti dan menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan.

"Namun apabila Bersatu membuat aduan terhadap PN, RoS tidak lagi menyerahkan tafsiran tersebut kepada parti, sebaliknya mentafsir sendiri Fasal 7.1 Perlembagaan PN, menolak tafsiran PN, lalu membatalkan pendaftarannya

"Undang-undang yang sama, jabatan yang sama tetapi tafsiran berbeza mengikut pihak yang terlibat," ujarnya.

Hamzah mendakwa, rangkaian tindakan RoS yang mentafsir undang-undang secara berbeza mengikut pihak terlibat, serta memilih hukuman paling berat tanpa penjelasan menggambarkan keputusan itu mengandungi unsur berniat jahat yang jelas.

Justeru ujarnya, Wawasan menolak keputusan tersebut dan akan mempertahankan hak serta mandat rakyat melalui saluran undang-undang, bermula di mahkamah pada 22 Oktober ini.

"Seluruh ahli dan penyokong turut diseru supaya kekal tenang serta mematuhi undang-undang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved