
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu yakin atau menganggap laluannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin mudah susulan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, perkembangan terbaharu membabitkan gabungan pembangkang itu tidak seharusnya menyebabkan jentera BN leka, sebaliknya perlu terus bekerja keras sehingga hari pengundian.
Menurutnya, peluang setiap parti dalam pilihan raya bergantung kepada usaha masing-masing dan BN perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang PRN berkenaan.
“Kita tidak tahu kerana segalanya bergantung kepada usaha setiap parti. Kita tidak boleh terlalu yakin. Saya mewakili Barisan Nasional, kita tidak boleh terlalu yakin dan kita kena terus bekerja.
“Jangan kita ambil kesempatan disebabkan pembatalan PN oleh RoS, kita gembira dan merasakan lebih mudah untuk bekerja,” katanya ketika ditemui Kosmo selepas The Knights Award Season 5: A World of Influence, di sini, malam ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pembatalan pendaftaran PN oleh RoS mampu memberi kelebihan kepada BN menjelang PRN Melaka.
Katanya, jentera BN perlu kekal fokus kerana masih terdapat pelbagai ujian yang mungkin dihadapi parti itu dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi.
“Rasanya ada ujian yang akan datang. Ada lagi ujian. Jadi, jangan terlalu yakin. Terus fokus dan terus buat kerja sampai kita menang, bukan sahaja di Melaka, sampai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 nanti, insya-Allah,” katanya.
RoS hari ini membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan pendaftaran serta tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftarannya.
Keputusan itu dibuat selepas RoS meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Terdahulu, Nurulhidayah menerima Anugerah Tokoh Cemerlang (Outstanding Figure) pada The Knights Award Season 5 yang berlangsung malam ini.
Pengiktirafan itu diberikan susulan sumbangan dan penglibatan beliau dalam bidang kemasyarakatan, pemerkasaan wanita serta pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Mengulas pengiktirafan tersebut, Nurulhidayah berkata, anugerah berkenaan membawa tanggungjawab lebih besar untuk beliau terus menyumbang kepada masyarakat.
“Alhamdulillah atas pengiktirafan pada malam ini. Ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat besar bagi saya.
“Sangat besar bermakna tanggungjawab yang lebih besar selepas ini untuk membantu lebih ramai yang memerlukan, melakukan program-program CSR seperti biasa, mungkin selepas ini lebih luar biasa,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post PN dibatalkan, BN jangan leka hadapi PRN Melaka – Nurulhidayah appeared first on Kosmo Online.






