
SERDANG: Potensi kerjasama Malaysia dan Vietnam dalam industri perikanan boleh dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai tekong tempatan serta menarik golongan muda menjadikan sektor itu sebagai kerjaya profesional.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail berkata, cadangan kerjasama itu sedang diteroka bersama Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dengan NEKMAT bertindak sebagai pemain industri.
Beliau berkata, perbincangan masih pada peringkat awal dan potensi kerjasama itu juga perlu mengambil kira undang-undang, kelestarian sumber, alam sekitar serta kepentingan nelayan tempatan.
“Antara perkara yang boleh diteroka ialah penangkapan tuna di laut lepas, di luar Zon Ekonomi Eksklusif, selain pendaratan dan pemprosesan hasil berkenaan di Malaysia.
“Kerjasama itu juga mungkin membolehkan kemahiran dan teknologi dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan,” katanya kepada Bernama pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.
Azrin Shah berkata, Vietnam mempunyai pengalaman dan teknologi perikanan laut dalam yang lebih maju, manakala Malaysia pula berpotensi mengembangkan lagi industri pemprosesan hiliran hasil perikanan.
Beliau berkata, pendaratan serta pemprosesan hasil tangkapan di Malaysia mampu membuka peluang pekerjaan di darat, selain membantu melahirkan tekong tempatan berkemahiran tinggi melalui latihan dan pemindahan kemahiran.
“Kita memang amat kekurangan tekong tempatan. Kita perlu menambah usaha untuk menjadikan pekerjaan menangkap ikan sebagai satu kerjaya profesional,” katanya.
Azrin Shah berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau pensijilan bertaraf antarabangsa supaya rakyat Malaysia berpeluang bekerja dan menimba pengalaman di kapal tuna di negara seperti Jepun dan Korea Selatan.
Dalam memperluas penyertaan golongan muda dalam sektor perikanan, beliau berkata, industri perikanan turut menawarkan peluang dalam pemasaran dan logistik produk sejuk beku, bukan hanya dalam aktiviti penangkapan ikan.
NEKMAT kini mempunyai saluran jualan menerusi Shopee serta menyediakan penghantaran percuma bagi pembelian dari cawangannya di sekitar Taman Wahyu di Kuala Lumpur dan Cheras.
Persatuan itu juga sedang mencari ejen serta rakan logistik dan boleh mempertimbangkan penyediaan peti sejuk beku kepada peruncit yang mencapai jumlah jualan minimum. – BERNAMA
The post Kerjasama Malaysia-Vietnam berpotensi lahir lebih ramai tekong perikanan tempatan – NEKMAT appeared first on Utusan Malaysia.






