Reservoir Link raih kontrak RM60.2 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan kemudahan sisa berkaitan industri RE

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2025 • 1:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Reservoir Link raih kontrak RM60.2 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan kemudahan sisa berkaitan industri RE

image is not available

08/09/2025 - 13:07

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Reservoir Link Energy Berhad menerusi RL Sigma Engineering Sdn Bhd menerima kontrak RM60.2 juta daripada Sage Promaster Sdn Bhd bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) secara pasang siap (turnkey) bagi sebuah kemudahan pemulihan sisa industri berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Kontrak tersebut dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan.

Katanya, di bawah skop kontrak itu, kumpulan akan bertanggungjawab mereka bentuk dan menyediakan fasiliti pemulihan sisa industri yang kukuh dan fleksibel, merangkumi kerja-kerja awam dan struktur, sistem mekanikal dan elektrikal, serta keupayaan automasi untuk memproses sehingga 15,000 metrik tan bahan mentah sisa.

Kemudahan itu bertujuan mengekstrak Safefuels, iaitu bahan api alternatif proprietari yang dibangunkan oleh Sage Promaster, direka untuk menjana RE setara dengan bahan api konvensional yang digunakan dalam kilang simen dan janakuasa.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbesar hati meluaskan usaha mereka ke dalam ruang RE dan kontrak itu mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan pihaknya dalam melaksanakan kontrak EPCC bersepadu.

"Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian tenaga bersih, kami akan terus teguh dalam memperkukuh keupayaan teknikal dan akan terus mempelbagaikan portfolio untuk merebut peluang pertumbuhan dalam sektor minyak & gas serta RE.

"Kami menantikan kejayaan dalam melaksanakan kontrak ini dan akan terus mengambil inisiatif bermakna bagi membawa nilai kepada rakan kongsi utama serta pemegang kepentingan," katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com

standard