UMediC berpotensi raih peningkatan permintaan produk pernafasan didorong pertambahan warga emas - penganalisis

12/09/2025 - 12:39
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 12 Sept - UMediC Group Berhad berpotensi meraih manfaat daripada peningkatan permintaan dalam segmen pembuatan khususnya bagi produk pernafasan didorong pertambahan populasi warga emas, kata penganalisis.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, prospek bagi segmen pembuatan kekal positif, disokong perluasan kapasiti dan permintaan global yang berterusan.
"Kami percaya keputusan UMediC untuk menggandakan kapasiti pengeluaran akan terus memperkukuh trajektori pertumbuhannya tetapi segmen agihan syarikat terus berdepan ketidaktentuan yang sebahagiannya mungkin mengimbangi keuntungan daripada pembuatan.
"Bagaimanapun kumpulan itu di landasan kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang. Barisan produk baharu yang stabil dijangka dapat mempelbagaikan aliran hasil, sekali gus memberi ketahanan terhadap turun naik pasaran," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti UMediC bagi 4QFY25 berjumlah RM2.9 juta (+60% suku ke suku, -6.2% tahun ke tahun), menjadikan jumlah FY25 kepada RM8.2 juta (-15.4% tahun ke tahun).
Keputusan itu mengatasi jangkaan, pada kadar antara 113% hingga 126% daripada konsensus dan unjuran firma penyelidikan itu.
Sementara itu, Phillip Capital menjangkakan keuntungan bersih teras kumpulan akan mencatatkan peningkatan secara berurutan dalam suku-suku mendatang, disokong tempahan pembuatan yang lebih kukuh serta penambahbaikan dalam kadar penggunaan kapasiti.
Katanya, pelan pengembangan syarikat kekal berada di landasan yang betul, dengan kapasiti penuh sebanyak 12 juta unit setahun disasarkan pada 1Q26.
"Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan FY26 akan didorong oleh peningkatan kapasiti baharu secara berperingkat dan momentum eksport yang semakin pesat.
"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko termasuk kemungkinan kelembapan permintaan peralatan perubatan, gangguan operasi, serta kehilangan lesen," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 45 sen sesaham.- DagangNews.com
standard
