Kerjaya Prospek raih kontrak RM37.82 juta di Pulau Andaman

14 Sep 2026 • 4:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerjaya Prospek raih kontrak RM37.82 juta di Pulau Andaman

PETALING JAYA: Kerjaya Prospek Group Berhad (Kerjaya Prospek) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd., meraih kontrak bernilai RM37.82 juta bagi kerja-kerja penanaman cerucuk dan substruktur di Pulau Andaman, Pulau Pinang.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, surat itu diterima daripada Persada Mentari Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O).

Projek berkenaan melibatkan pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja substruktur bagi cadangan pembangunan satu blok pangsapuri mampu milik 38 tingkat yang mengandungi 922 unit di Bandar Tanjung Pinang, Daerah Timur Laut.

Menurut Kerjaya Prospek, kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 1 Oktober 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Penerimaan kontrak ini berada dalam perjalanan biasa perniagaan kumpulan dan dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan bagi tempoh dua tahun akan datang.

“Langkah ini turut memperkukuh nilai tempahan sedia ada serta memberi sumbangan positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2028,” katanya.

Pembangunan tersebut turut merangkumi ruang kemudahan, tempat letak kereta serta sebuah pencawang pembahagian utama Tenaga Nasional Berhad.

Kontrak berkenaan dianggap sebagai Urus Niaga Pihak Berkaitan Berulang (RRPT) berikutan beberapa pengarah dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek, termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebasnya, Datuk Seri Tee Eng Ho, mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung dalam E&O. –UTUSAN

The post Kerjaya Prospek raih kontrak RM37.82 juta di Pulau Andaman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved