Kerjaya Prospek raih kontrak RM488.4 juta projek AVEA di Pulau Andaman

23 Jun 2026 • 2:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjaya Prospek raih kontrak RM488.4 juta projek AVEA di Pulau Andaman Image from: Kerjaya Prospek raih kontrak RM488.4 juta projek AVEA di Pulau Andaman hamden23/06/2026 - 14:01 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerjaya Prospek Group Berhad memperoleh kontrak bernilai RM488.4 juta bagi pembangunan kediaman tepi marina kedua, AVEA di Pulau Andaman, Pulau Pinang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd., bagi pelaksanaan projek pembangunan dua fasa melibatkan dua menara pangsapuri servis setinggi 46 tingkat.

 

Projek tersebut merangkumi 1,080 unit kediaman bersama kemudahan sokongan termasuk parkir bawah tanah, parkir podium, ruang komersial serta kemudahan rekreasi. Pembinaan dijadualkan bermula pada 1 Julai 2026 dan disasarkan siap dalam tempoh 42 bulan.

 

Kontrak itu dianugerahkan oleh Persada Mentari Sdn. Bhd., anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O), dan dilaksanakan berdasarkan terma komersial pada kadar urus niaga telus serta tidak lebih baik berbanding tawaran kepada umum.

 

Syarikat berkata, beberapa pemegang saham utama Kerjaya Prospek mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung dalam E&O.

 

Kesinambungan Pembangunan di Pulau Andaman

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, projek tersebut mencerminkan kesinambungan kerjasama strategik jangka panjang antara kedua-dua pihak dalam pembangunan di Pulau Andaman yang kini menjadi antara projek transformasi utama di Pulau Pinang.

 

“Pulau Andaman merupakan salah satu pembangunan tepi laut paling berprofil tinggi di negeri ini, dan kami berbangga dapat menyumbang kepada pelaksanaannya,” katanya.

 

Beliau berkata, kontrak terbaharu itu merupakan kemenangan kelapan syarikat pada tahun 2026, menjadikan jumlah kontrak baharu tahun kewangan 2026 setakat ini mencecah RM2.1 bilion, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

 

“Bersama buku tempahan belum siap sebanyak RM5.0 bilion, kumpulan kekal berada pada kedudukan kukuh dengan keterlihatan pendapatan yang tinggi serta prospek projek yang sihat untuk tempoh akan datang,” katanya.

 

Pembangunan Aspen Vision City

Dalam perkembangan lain, Kerjaya Prospek turut memaklumkan bahawa kumpulan itu telah menyiapkan pelaburan pegangan 49% dalam Aspen Vision Land Sdn. Bhd. bagi menyokong pembangunan Aspen Vision City di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Selain itu, kumpulan turut mengumumkan pengambilalihan baki pegangan dalam Tanjung Bungah Development Sdn. Bhd., sekali gus memberikan kawalan penuh ke atas projek pembangunan di Tanjung Bungah.

 

Menurutnya, langkah-langkah strategik itu dijangka memperkukuh kehadiran Kerjaya Prospek di Pulau Pinang serta meluaskan portfolio pembangunan hartanah jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved