Kertas keselamatan lapangan terbang dibentang kepada kabinet dua minggu lagi

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 1:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kertas keselamatan lapangan terbang dibentang kepada kabinet dua minggu lagi

KOTA BHARU: Kertas pelan penambahbaikan kawalan keselamatan lapangan terbang akan dibentangkan kepada kabinet dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi susulan tangkapan ke atas seorang juruterbang yang menyeludup dadah ke Indonesia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan sama ada kertas berkenaan akan dibentangkan oleh pihaknya atau Kementerian Pengangkutan.

Katanya, isu berkenaan mendapat perhatian serius kerajaan dan telah dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada minggu lalu.

“Kabinet mengarahkan semua agensi dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Kementerian Pengangkutan termasuk Malaysia Airports Berhad (MAB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Pada semalam, mereka telah mengadakan mesyuarat, agensi-agensi berkenaan. Saya dimaklumkan dalam mesyuarat kabinet minggu depan, satu kertas akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, kertas mengenai pelan penambahbaikan kawalan keselamatan di lapangan terbang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pampasan Kematian (Skim Takaful Berkelompok) Kepada Keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini hari ini.

Saifuddin Nasution memberitahu, pelan berkenaan akan meliputi aspek koordinasi, latihan, infrastruktur dan logistik, termasuk penggunaan serta pengendalian mesin imbas di lapangan terbang.

Katanya, mesin imbas dikendalikan Pasukan Keselamatan Penerbangan mengikut standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dengan penekanan utama terhadap ancaman seperti bom, senjata tajam dan pistol.

“erajaan perlu menyelaraskan semula aspek pemeriksaan sekiranya bahan terlarang atau kontraban dikesan melalui mesin imbas. 

“Kalau pada skrin itu terpapar kontraband, itu walaupun dikesan pada mesin imbas, tetapi kerana standard pemeriksaannya bukan dari segi keselamatan biasa yang biasa dikendalikan oleh polis atau AKPS. Jadi kita perlu selaraskan balik dari segi aspek-aspek berkenaan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah, termasuk lebih 70,000 pil ekstasi sekitar 25 kilogram ke Indonesia.

Suspek berusia 39 tahun itu dilaporkan menerbangkan pesawat Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan pada Rabu, 29 Julai, di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.-UTUSAN

The post Kertas keselamatan lapangan terbang dibentang kepada kabinet dua minggu lagi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved