
KOTA BHARU – Pelan penambahbaikan kawalan keselamatan lapangan terbang di negara ini akan dibentang kepada Jemaah Menteri pada minggu depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan tersebut dijalankan susulan penahanan seorang juruterbang rakyat Malaysia berusia 39 tahun yang ditahan selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi dan syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia baru-baru ini.
Menurutnya, perkara itu telah dibincang di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu dengan semua agensi kawal selia berkaitan diarah mengemukakan pelan penambahbaikan keselamatan lapangan terbang.
Beliau berkata, agensi terbabit termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.
“Pelan itu akan menyentuh aspek koordinasi, latihan, infrastruktur, logistik, termasuk kawalan terhadap mesin imbas dan pihak yang mengendalikan infrastruktur tersebut.
“Mesin pengimbas di lapangan terbang dikendalikan Pasukan Keselamatan Penerbangan mengikut standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang memberi penekanan kepada pengesanan bom, senjata tajam dan pistol,” katanya selepas menyampaikan Pampasan Kematian (Skim Takaful Berkelompok) Kepada Keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, perkara itu bukan sahaja mengenai aspek keselamatan, tetapi turut melibatkan nama baik negara yang mempunyai pencapaian cemerlang dari segi ketibaan pelancong.
Menurutnya, kerajaan perlu menyelaraskan semula aspek pemeriksaan sekiranya bahan terlarang atau kontraban dikesan melalui mesin imbas.
“Jika terpapar barangan kontraban pada skrin walaupun dikesan pada mesin imbas, standard pemeriksaannya bukan dari segi keselamatan yang dikendali oleh polis atau AKPS. Jadi, kita perlu selaras semula aspek-aspek berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pelan tambah baik kawalan keselamatan lapangan terbang dibentang minggu depan appeared first on Kosmo Digital.






