
KUALA LUMPUR – Pemandu kereta BYD Seal yang terlibat dalam kemalangan enam kenderaan sehingga meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.
Menurutnya, pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan selain terus memantau keadaan pemandu berkenaan.
“Siasatan masih dijalankan. Pemandu masih dalam rawatan di hospital swasta dan IO sedang menyelesaikan siasatan serta memantau keadaan pemandu.
“Kes dalam seberapa segera akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan keluarga Asiah Ahmad Syahir, 5, yang maut dalam nahas berkenaan akan menunggu proses rawatan pemandu serta siasatan polis selesai sebelum mengambil tindakan seterusnya bagi menuntut keadilan buat kanak-kanak itu.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Amin Mohamad Nor Izam, 25, berkata, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kemalangan yang meragut nyawa anak sulung abangnya itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, Asiah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
Siasatan awal polis mendapati Perodua Bezza yang dinaiki Asiah bersama keluarganya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah BYD Seal sebelum kenderaan itu berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu BYD masih dirawat, kes nahas Asiah akan dirujuk DPP appeared first on Kosmo Online.




![Pemandu BYD Terlibat Kemalangan Ragut Nyawa Kanak-Kanak 5 Tahun Dikesan Di Hospital Swasta [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/kanak-kanak-5-tahun-maut-kerana-dilanggar-BYD.jpg?t=1791860433)

![[VIDEO] ‘Selamba bawa kereta seperti tiada apa yang berlaku’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-12-at-1.13.18-PM-1024x766.jpeg)