hamden18/08/2026 - 18:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kawan Food Bhd mencatatkan kerugian selepas cukai (PAT) RM5.70 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), berbanding keuntungan RM3.27 juta pada suku sama tahun sebelumnya, susulan permintaan yang lebih lemah serta peningkatan perbelanjaan pengiklanan dan promosi.
Pengeluar produk makanan Asia sejuk beku itu berkata, kemerosotan prestasi turut dipengaruhi pelarasan harga serta kelemahan purata dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit sepanjang suku tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, Kawan Food berkata hasil 2QFY26 susut kepada RM50.80 juta berbanding RM60.22 juta pada 2QFY25.
“Penurunan keuntungan terutamanya disebabkan permintaan jualan yang lebih rendah, pelarasan harga dan kelemahan dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit pada 2QFY26 berbanding suku sama tahun sebelumnya,” katanya.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY26, Kumpulan mencatatkan hasil RM119.47 juta, susut daripada RM130.71 juta pada 1HFY25.
PAT bagi tempoh tersebut pula mencatatkan kerugian RM4.55 juta, berbanding keuntungan RM7.90 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut Kawan Food, penguncupan hasil 1HFY26 terutama berpunca daripada tekanan kadar pertukaran USD/MYR, peningkatan pelaburan dalam aktiviti promosi serta hasil yang lebih rendah direkodkan.
Tingkat pelaburan untuk pengembangan pasaran
Kawan Food berkata peningkatan aktiviti pengiklanan dan promosi sepanjang tempoh tersebut dibuat sebagai persediaan melancarkan produk baharu pada 3QFY26, bagi menyokong pengembangan pasaran serantau.
Kumpulan turut meneruskan usaha memperkukuh kehadiran dalam pasaran eksport terpilih.
Segmen Oceania mencatatkan pertumbuhan hasil kira-kira 50% YoY, manakala segmen Afrika meningkat 8.1% YoY sepanjang tempoh berkenaan.
Kedua-dua pasaran itu menyumbang kepada kepelbagaian rangkaian eksport Kumpulan yang kini merangkumi lebih 40 negara.
Pengerusi Emeritus dan Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan Kawan Food, Gan Thiam Chai, berkata separuh pertama 2026 dipengaruhi permintaan lebih lembut di beberapa pasaran serta pergerakan mata wang asing.
Katanya, Kumpulan terus melabur secara terpilih dalam jenama, memperluas saluran jualan dan mengukuhkan rangkaian produk, di samping mengurus kos operasi serta meningkatkan pelaksanaan.
“Pelaburan kami sepanjang tempoh ini ditumpukan kepada usaha membina asas perniagaan yang lebih kukuh, termasuk peningkatan aktiviti pengiklanan dan promosi, pembangunan produk baharu serta penyenaraian produk melalui saluran terpilih.
“Inisiatif ini memerlukan pelaburan pada peringkat awal dan kami kekal memberi tumpuan untuk memastikan ia dilaksanakan secara berdisiplin serta sejajar dengan peluang yang tersedia kepada Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com






