Kerugian bersih 2QFY25 MSM susut kepada RM29.74 juta disokong kos pengeluaran lebih rendah

25/08/2025 - 16:21
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kerugian bersih MSM Malaysia Holdings Berhad pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) mengecil kepada RM29.74 juta berbanding RM32.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong kos pengeluaran yang lebih rendah.
Kumpulan itu berkata, penyusutan kerugian ini didorong penurunan kos pengeluaran sebanyak 18% disebabkan penurunan harga NY11, penanda aras global bagi kontrak hadapan gula mentah, serta caj pengangkutan dan kos pertukaran mata wang asing yang lebih rendah.
Katanya, pendapatan suku tahunan menurun sebanyak 2.4% kepada RM812.75 juta berbanding RM833.08 juta sebelum ini, berikutan harga jualan purata yang lemah dalam kategori perindustrian dan eksport yang mengimbangi jumlah jualan yang lebih tinggi.
Bagi separuh pertama tahun 2025 (1HFY25), MSM mencatat kerugian bersih sebanyak RM26.02 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM9.32 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pendapatan menurun sebanyak 10.2% kepada RM1.56 bilion daripada RM1.74 bilion.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Hasni Ahmad berkata, industri gula dijangka kekal mencabar pada tahun 2025, didorong oleh kos input yang kekal tinggi serta harga gula mentah yang tidak menentu akibat turun naik jumlah pengeluaran global.
“Walaupun berdepan cabaran ini, permintaan gula domestik dijangka memuncak menjelang akhir tahun, disokong oleh trend penggunaan sempena perayaan.
"Kumpulan terus memperkukuh kehadiran kami dalam pasaran domestik dan menangani cabaran harga eksport walaupun permintaan kekal stabil, serta meneroka peluang dalam pasaran produk tambah nilai.
"Selain itu, kumpulan sedang memperkemas dan mengoptimumkan operasi kami bagi memastikan keuntungan dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan.
MSM juga kekal aktif bekerjasama dengan kerajaan melalui platform Industri Gula Bersama untuk memuktamadkan kerangka harga yang mampan serta melaksanakan kawalan import ke atas gula bertapis – langkah yang dianggap penting bagi melindungi keselamatan makanan negara dan memastikan kelangsungan jangka panjang industri gula Malaysia.- DagangNews.com
standard
