Pendapatan MISC pada 2QFY25 merosot 14.2%, hasil susut 18.3%

25/08/2025 - 17:19
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Ogos - MISC Berhad mencatat penurunan keuntungan bersih sebanyak 14.2% bagi suku kedua berbanding tahun sebelumnya disebabkan pendapatan yang lebih rendah daripada operasi gas, petroleum dan marin.
Kumpulan itu berkata, untung bersih bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) adalah sebanyak RM464.4 juta berbanding RM540.9 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan itu juga susut 18.3% kepada RM2.72 bilion berbanding RM3.33 bilion 2QFY24 berikutan sumbangan yang lebih lemah daripada segmen perniagaan gas dan marin susulan pelupusan kapal, tamat tempoh kontrak serta bilangan projek yang lebih rendah.
Walaupun keuntungan menyusut, MISC mengisytiharkan dividen sebanyak lapan sen sesaham dengan tarikh ex pada 9 September dan tarikh pembayaran pada 25 September.
Sepanjang suku yang dilaporkan, MISC turut mencatat peruntukan rosot nilai yang lebih tinggi sebanyak RM115.5 juta berbanding RM34.9 juta pada tahun sebelumnya.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), keuntungan bersih MISC menurun sebanyak 10.1% kepada RM1.17 bilion daripada RM1.3 bilion pada 1HFY24 dengan hasil pula merosot 20.5% kepada RM5.54 bilion daripada RM6.97 bilion tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, melalui pelaksanaan yang berdisiplin, syarikat terus menjana aliran tunai operasi yang kukuh dan mengekalkan daya tahan merentasi segmen perniagaannya.
Beliau berkata, MISC telah mencapai dua lagi pencapaian strategik utama yang mewujudkan asas kukuh bagi tonggak tenaga baharu yang menguntungkan dalam bidang penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Sepanjang tahun ini, kami akan meneruskan momentum ini dengan memperkukuh perniagaan teras, memodenkan armada, dan mempercepatkan pertumbuhan dalam rantaian nilai tenaga baharu,” katanya. - DagangNews.com
standard

