Kerusi dimenangi BN di Melaka kekal milik BN – Ahmad Zahid

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 12:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerusi dimenangi BN di Melaka kekal milik BN – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini kepada mana-mana pihak pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu telah ditetapkan bagi memastikan kerusi yang menjadi milik BN berdasarkan mandat rakyat terus dipertahankan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, BN ketika ini memegang 21 kerusi dan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri telah menyatakan komitmen untuk mempertahankan semua kerusi berkenaan.

“Kita telah menetapkan bahawa kerusi yang kita menang, kita tidak akan pernah berkongsi kerusi itu dengan mana-mana pihak.

“Daripada 21 kerusi, daripada 28 kerusi di Melaka, maka Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Negeri Melaka telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, sebarang perbincangan berkaitan pembahagian kerusi antara parti yang terlibat masih terbuka untuk dibincangkan menerusi mesyuarat akan datang.

Menurut beliau, Ketua Menteri Melaka menunjukkan sikap terbuka dan rundingan perlu dilakukan antara semua pihak bagi mencapai persefahaman terbaik.

“Saya pasti akan ada mesyuarat antara semua pihak dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, beliau sangat terbuka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kepimpinan BN di peringkat pusat akan turut dirujuk dalam sebarang rundingan berkaitan kerjasama politik atau persefahaman yang dicapai.

Katanya, pihak pusat akan memainkan peranan sebagai pemutus sekiranya terdapat sebarang persetujuan yang perlu dimuktamadkan.

“Kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus kepada sebarang persepakatan atau persefahaman yang akan dicapai dalam mesyuarat yang diadakan antara mereka,” katanya.

PRN Melaka sebelum ini menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar.-UTUSAN

The post Kerusi dimenangi BN di Melaka kekal milik BN – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved